KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah mengenal pasti sebanyak 580 kenderaan asing yang membuat pengisian bahan api melebihi sekali dalam sehari di stesen berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, maklumat itu diperolehi hasil penugasan pegawai KPDN secara statik di enam stesen minyak terlibat iaitu lima buah di Kubang Pasu dan sebuah di Baling sejak 25 September lalu.
Menurutnya, kegiatan itu disyaki ada kaitan dengan penyelewengan minyak diesel dan petrol bersubsidi yang dipercayai dijalankan secara kecil-kecilan sama ada secara individu atau kumpulan kecil ketika ini.
“Sebanyak 19,705 kenderaan direkodkan maklumat dengan 19,001 melibatkan kenderaan tempatan dan 704 kenderaan asing. Daripada jumlah itu, 580 kenderaan dikenal pasti membuat pengisian secara berulang melebihi sekali dalam sehari di stesen-stesen berbeza yang dilaksanakan penugasan statik.
“Modus operandi mereka adalah dengan membuat pembelian menggunakan tong kecil dan ada beberapa kenderaan pula disyaki mempunyai tangki tambahan. Kawasan pengumpulan yang dikenal pasti adalah di kawasan kampung yang jauh daripada perhatian awam.
“Kesemua hasil pemantauan ini disalurkan kepada bahagian risikan untuk tindakan selanjutnya yang mana kita berjaya menyita 1,300 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM2,865 dan 4,200 liter minyak diesel dengan nilai RM12,390 serta dua unit kenderaan dan peralatan pemindahan minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan di beberapa stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Changlun di sini, hari ini.
Muhammad Nizam berkata, aktiviti penyeludupan diesel secara pukal didapati semakin berkurangan sejak penyasaran subsidi dilaksanakan kerajaan Julai lalu.
Katanya, perbandingan rekod jualan diesel antara 1 hingga 20 Oktober lalu berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya merekodkan penurunan antara tujuh hingga 24 peratus jualan bagi produk itu di enam stesen terbabit.
Sementara itu, ujar beliau, produk petrol RON95 pula mencatatkan penurunan jualan antara tiga hingga 30 peratus bagi tempoh sama di stesen-stesen minyak tersebut.
“Melalui pelaksanaan Op Tiris 3.0 sepanjang tahun ini pula merekodkan sebanyak 1,982 pemeriksaan dan 158 kes telah dihasilkan melibatkan rampasan keseluruhan berjumlah RM 2.9 juta.
“Sebanyak 34 individu atau syarikat telah dihadapkan ke mahkamah dengan sembilan daripadanya disabitkan kesalahan melibatkan denda keseluruhan berjumlah RM 213,000,” katanya. – UTUSAN