MACHANG: Seramai 2,357 banduan di Kelantan yang dibebaskan secara berlesen pada tahun ini sudah mendapat pekerjaan.
Pengarah Penjara Kelantan, Hamid Taha berkata, sektor pekerjaan yang disertai oleh golongan itu ialah pusat cucian kereta, pekerja resort, kedai makan dan tukang perak.
Menurutnya, ada dalam kalangan bekas banduan yang digelar sebagai
prospek menceburi bidang perniagaan.
“Alhamdulillah, kesemua prospek itu diterima baik oleh majikan di negeri ini sekali gus memberi sinar baharu kepada mereka sebaik sahaja dibebaskan dari penjara.
“Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya lima orang banduan masuk semula ke penjara,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Muzikal Muhibah dan Suara Dari Lembah Harapan Peringkat Penghuni Zon Semenanjung Malaysia Tahun 2024 di Dewan Datuk Mustafa Osman Pusat Koreksional Machang Kelantan di sini, hari ini.
Hamid memberitahu, pihaknya menjangkakan seramai 2,600 banduan secara berlesen dibebaskan hingga hujung tahun ini
Katanya, berdasarkan rekod, seramai 1,800 banduan dibebaskan secara berlesen pada tahun lalu.
“Jumlah banduan di dua penjara di Kelantan iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Pusat Pemulihan Akhlak Machang ketika ini seramai 7,027 orang,” ujarnya. – UTUSAN