KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan pembuat keputusan muktamad (ultimate decision maker) dalam skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menyatakan, berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan, Najib jelas mempunyai kepentingan peribadi dan turut memainkan peranan utama bermula daripada penubuhan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) sehingga syarikat terbabit ditukar nama kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berdasarkan keterangan dan bukti-bukti juga, mahkamah mendapati bekas Presiden UMNO itu juga telah menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan dengan melakukan pelbagai tindakan sehinga menyebabkan jutaan wang masuk ke akaunnya.
“Tertuduh merupakan pembuat keputusan utama. Beliau tidak membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaan penglibatan individu lain (dalam penyelewengan dana 1MDB).
“Berdasarkan jejak aliran wang, sejumlah wang yang daripada 1MDB telah memasuki akaun peribadi tertuduh dan ia digunakan oleh tertuduh. Bukti-bukti dikemukakan pendakwaan menunjukkan tertuduh mempunyai kepentingan dalam 1MDB dan turut menunjukkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian dalam membayar balik bon dan pinjaman.
“Pada akhirnya, tindakan-tindakan tertuduh tidak membawa sebarang kebaikan, faedah atau kelebihan yang diperoleh kerajaan,” kata hakim itu ketika membaca penghakiman ringkasnya selama hampir dua jam.
Terdahulu, mahkamah menyentuh beberapa isu yang ditimbulkan sewaktu hujahan di akhir kes pendakwaan yang mengambil masa selama 12 hari.
Hakim Sequerah dalam penghakiman ringkasnya menyatakan, hujahan pihak pembelaan yang menyatakan pertuduhan terhadap Najib adalah cacat dan mengelirukan tidak mempunyai sebarang merit.
Uajrnya, setiap pertuduhan telah menyatakan masa, tarikh dan tindakan yang diambil oleh Najib dalam melakukan perbuatan dikatakan menyalahi undang-undang itu.
Selain itu, pendakwaan juga tidak pernah meyembunyikan atau menyimpan bukti daripada pembelaan.
Hakim itu juga menyatakan, walaupun terdapat keterangan bahawa ada beberapa saksi pendakwaan yang menerima hadiah dalam bentuk wang ringgit atau barangan mewah, ia tidak menjadikan bahawa keterangan mereka tidak boleh diterima oleh mahkamah.
“Tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menyatakan bahawa keterangan saksi-saksi berkepentingan tidak boleh diterima oleh mahkamah,” kata Hakim Sequerah.
Sehubungan itu, selepas meneliti kesemua keterangan dan bukti yang dikemukakan serta setelah membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan, (mahkamah mendapati) pihak pendakwaan berjaya membuktikan setiap intipati bagi kesemua pertuduhan.
“Sekiranya kesemua keterangan dan bukti ini tidak disangkal, ia akan membawa kepada sabitan,” kata Hakim Sequerah.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB.
Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menghadapi lima pertuduhan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan; RM246,000 kepada Lim Soon Peng; RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn. Bhd. dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd.-UTUSAN