KUALA LUMPUR: Sebanyak 199 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara atau ‘job scam’ masih dijejak Kementerian Luar melalui perwakilan Malaysia di luar negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, seramai 707 orang rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara telah dihantar pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun, menurut beliau, seramai 199 orang lagi sedang dijejaki akibat penipuan sindiket tersebut.
“Ini menjadikan jumlah warganegara Malaysia yang terlibat seramai 906 orang. Jumlah ini adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, PDRM dan individu itu sendiri.
“Kementerian ini melalui perwakilan Malaysia di luar akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan keberadaan mereka.
“Ini bagi memudahcara untuk melepaskan atau menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan, Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang minta Menteri Luar menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau melibatkan diri dalam penipuan atas talian dalam lima tahun terkini (2020-2024).
Tambah Mohamad, kira-kira 90 peratus mangsa adalah operator-operator yang terlibat dengan sindiket penipuan pekerjaan.
“Setakat ini, seramai lima orang telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran.
“Ini adalah satu usaha di mana kita akan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa tempatan melalui jawatankuasa khas yang mempunyai 10 agensi di dalamnya untuk menangani isu ini,” katanya. – UTUSAN