Mengejutkan ramai menerusi pernikahannya dengan seorang jejaka bernama Ridwan Hussien pada 18 Ogos lalu, pelakon, Jue Aziz, sedar sukar untuknya menutup mulut-mulut orang yang mungkin mempertikaikan perkahwinan keduanya kali ini.
Bagi Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz, keputusan untuk bernikah dan kembali menjadi isteri orang buat kedua kalinya bukan mudah dilakukan sementelah sejak bercerai dengan bekas suami terdahulu, pintu hatinya seakan sudah tertutup buat mana-mana lelaki.
Bahkan, sepanjang enam tahun bergelar ibu tunggal, dia juga mengakui ramai sahaja golongan lelaki mahu mencuba nasib mendekati dirinya.
Namun, sedikit pun hatinya tidak goyah untuk menerima kehadiran orang baharu sehinggalah dia akur, jodohnya adalah dengan Ridwan.
“Lepas bercerai dengan suami terdahulu, saya memang tidak mencari atau terasa ingin berkenalan dengan mana-mana lelaki pun. Ketika itu cuma merasakan ingin teruskan kehidupan macam biasa dengan anak.
“Saya pun tak bersosial sangat dan banyak survive seorang. Bagaimanapun, Ridwan sudah lama ada dalam hidup saya sebagai seorang kawan.
“Tak dinafikan dalam masa yang sama, dia pun antara yang mencuba nasib. Lama juga dia bersabar menunggu pintu hati saya terbuka,”katanya.
Jelas Jue, hubungan persahabatan kemudiannya melaju ke fasa pernikahan setelah banyak kali dirinya dipujuk ibu, Nor Asmah, yang mahu melihat Jue selamat berada di bawah jagaan dan perlindungan seorang suami.
“Boleh dikatakan, saya akhirnya buat keputusan bernikah dengan Ridwan ini kerana ibu juga. Dalam usianya yang sudah 70 lebih, ibu sebenarnya kurang sihat.
“Ibu dah lama suruh saya kahwin, sampaikan pernahlah cuba carikan jodoh dengan saudara-mara. Tetapi, akhirnya saya terbuka hati dengan Ridwan sebab nampak usahanya.
“Maka, kami pun bernikah dan tak sangka dalam kesuntukkan dua bulan tempoh merancang, segala-galanya dipermudahkan-Nya,”katanya.
Mengagumi kebaikan hati dan kesabaran Ridwan, Jue berkata, dia juga tidak kisah latar belakang lelaki tersebut yang sekadar orang biasa.
Baginya, mungkin ramai beranggapan wanita sepertinya meskipun bergelar janda, mahu mencari lelaki yang kaya harta, namun Jue berpendirian kemewahan bukanlah satu jaminan kebahagiaan rumah tangga.
Pokoknya, kata Jue, sememangnya dia tidak pernah menginginkan lelaki yang kaya kerana sedar apa yang penting adalah bagaimana seseorang lelaki itu dapat membimbing dan menjaga keluarga dengan rasa tanggungjawab dan kasih sayang.
“Sebelum ini ramai agak saya ini wanita yang high maintainence walhal tidak pun. Sebab itu orang hairan bila saya kahwin dengan Ridwan, lelaki lebih muda dan biasa sahaja.
“Saya memang tak akan cari orang kaya. Saya pilih untuk hidup sederhana, suami isteri sama-sama menyokong, saling melengkapi dan bahagia dengan cara sendiri.
“Kalau dapat lelaki kaya pun, entah-entah tidur malam pun asyik tak sedap hati. Saya cuma nak ketenangan sahaja sekarang dan sama-sama cari ilmu dekatkan diri dengan Allah.
“Kalau asyik fikir duit sahaja, perkahwinan itu tak akan ke mana,”katanya.
Berkongsi lanjut, cerita Jue, sebenarnya sebelum bertemu jodoh dengan Ridwan, dia banyak berdoa seandainya ada jodoh, dia mahu dikurniakan seorang suami yang menepati kriteria pilihannya.
“Dulu pun saya berkahwin dengan bekas suami tak lama kenal, tiga bulan terus kahwin. Jadinya mungkin kerana itulah susah nak cipta persefahaman. Jadi saya berdoa andai ada jodoh, biarlah lelaki itu seorang yang memahami dan saya mencari keserasian.
“Kemudian Allah hadirkan Ridwan dalam hidup saya. Dia ini pula seorang introvert, pemalu pun iya. Tetapi bila dengan saya, dia jadi diri sendiri dan boleh ikut perangai gila-gila dan kelakar saya.
“Sebab kami pun bermula sebagai kawan, jadi mungkin dari situ sudah ada keserasian. Saya ini cuma mahukan seorang suami yang menyayangi dan serasi dengan saya,”katanya.
Jangan takut kahwin
Dalam pada itu, Jue sedar, mungkin ada antara wanita lain yang pernah melalui fasa perceraian apabila hubungan suami isteri menemui jalan kegagalan dan tidak dapat diselamatkan.
Kisah dan laluan hidup juga mungkin berbeza-beza. Namun baginya, secara peribadi, usah takut bangkit daripada kegagalan lalu untuk membina semula rumah tangga yang baharu.
“Bukanlah saya nak kata kaum wanita yang sudah bercerai jangan takut kahwin, tetapi takut pada hukum Allah berbanding terlalu risau dengan kata-kata orang. Iya, saya tahu, pandangan orang terhadap wanita bergelar janda itu adakalanya negatif.
“Tetapi jangan takut pada rezeki dan percaya pada-Nya. Kalau dalam sesebuah perkahwinan misalnya, kita rasakan sudah tidak mampu lagi meneruskan, tidak boleh juga nak memaksa hati kerana bimbang lebih banyak dosa yang kita tak sedar sedang lakukan.
“Saya pun sendiri, walau sudah bercerai dengan bekas suami, kami baik macam kawan. Kami dulu pun bercerai secara baik tak ada gaduh-gaduh,”jelasnya.
Terdahulu, Jue berkongsi video majlis pernikahannya dengan Ridwan yang berlangsung pada 18 Ogos lalu di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan di laman Instagram miliknya.
Untuk info, Jue mendirikan rumah tangga pada 2014 bersama pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman, namun bercerai pada 2019.
Mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan memiliki seorang anak angkat, Darwish Naufal, 12.











