ALOR GAJAH: Siapa menyangka hanya dengan membeli sehelai kemeja-T berharga RM25, seorang ibu tunggal berjaya memenangi sebuah kereta Proton X50 bernilai RM79,800.
Norhazihan Shafie, 40, dari Sik, Kedah berkata, percutiannya di Melaka selama empat hari menjadi kenangan terindah dalam hidupnya selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 untuk bulan Julai.
Ujarnya, dia bercuti ke negeri ini bersama 12 rakan sekerja yang ditaja syarikat tempat mereka berkhidmat.
Berita berkaitan:
“Saya isi borang cabutan bertuah selepas beli kemeja-T berharga RM25. Masa itu saya langsung tidak fikir untuk menang hanya sekadar mencuba nasib.
“Minggu lepas saya mendapat panggilan memaklumkan saya menang kereta Proton X50. Memang saya tidak percaya kerana risau itu adalah scammer. Kemudian, pemilik restoran tempat saya bekerja telah menghubungi Bahagian Promosi dan Pelancongan (BBP) Melaka bagi mengesahkan panggilan berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Pesta Pantai Tanjung Bidara di sini, semalam.
Tambah Norhazihan, kereta yang dimenangi akan digunakan sebaiknya kerana dirinya memang tidak memiliki sebarang kenderaan ketika ini.
“Alhamdulillah dan rasa syukur saya menang sebuah kereta yang boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan seharian. Mula-mula memang tidak percaya tetapi hari ini saya terima kunci kereta daripada Ketua Menteri sendiri,” ujarnya. – UTUSAN











