HULU LANGAT 26 Feb. – Peratusan mengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih setakat pukul 10 pagi ini adalah sebanyak 38 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun berkata, proses pengundian setakat ini berjalan lancar.
“Di sini ada dua saluran. Satu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan satu lagi di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-4 Semenyih di sini.
“Di Kem PGA, kita buka sampai pukul 5 petang ini manakala di IPD Kajang sehingga pukul 2 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu membuat lawatan ke pusat pengundian awal PRK DUN Semenyih di sini hari ini.
Seramai 858 pengundi awal bagi PRK DUN Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka di dua pusat pengundian di sini hari ini.
Seramai 761 anggota polis PGA dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih.
Manakala 97 anggota keselamatan terbabit lagi mengundi di Discress Room, IPD Kajang.
Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos.
Terdapat 951 pengundi awal dan pos secara keseluruhannya di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.-UTUSAN ONLINE









