Tragedi feri karam korbankan 27 pelajar tidak pernah dilupa

Tragedi feri karam korbankan 27 pelajar tidak pernah dilupa

CHAN Wan Teck (empat dari kanan) pada majlis Pengkisahan Tragedi Feri Karam Di Sungai Kerian di Parit Buntar, Perak, baru-baru ini. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Tragedi feri karam di Sungai Kerian di sini yang mengorbankan 27 orang pada 1972 tidak mampu dilupakan waris mangsa walaupun kejadian itu sudah 52 tahun berlalu.

Antara waris kepada mangsa ialah Chan Wan Teck, 70, yang kehilangan adik kelimanya, Chan Wan Hock yang semasa kejadian berusia 14 tahun.

Katanya, sebelum tragedi pada pukul 6.30 pagi itu, adiknya yang bangun daripada tidur untuk ke sekolah pada hari itu kelihatan sugul, seolah-olah keberatan tanpa diketahui puncanya.

“Sebelum itu, ibu kejutkan adik untuk ke sekolah dan dia turun ke bilik bacaan di tingkat bawah rumah. Dia berdiam diri di situ agak lama sebelum diingatkan van sekolahnya tiba tidak lama lagi,’ ceritanya ketika ditemui pada majlis pengkisahan tragedi feri karam di Sungai Kerian, di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Wan Teck, adiknya kemudian menaiki van sekolah yang turut membawa pelajar lain yang kebanyakannya tinggal di Lubuk Buntar di Bandar Baharu untuk ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian di Parit Buntar.

Katanya, untuk sampai ke sekolah, semua pelajar menaiki feri menyeberangi Sungai Kerian ke Parit Buntar yang jarak antara kedua-dua tebing kira-kira 100 meter.

” Tidak lama kemudian, kawasan perumahan kami yang terletak sekitar 100 meter dari tebing Sungai Kerian Bandar Baharu menjadi riuh-rendah.

“Kami diberitahu feri yang membawa van sekolah ke seberang tenggelam dalam sungai.

“Saya bersama ibu dan ahli keluarga yang lain cuba mencari adik dengan menaiki perahu namun tiada siapa yang nampak dia sampai ke seberang sana dan ini membuatkan hati kami sekeluarga berada dalam keadaan bertambah resah,” katanya.

Menurutnya, suasana di kawasan tebing Sungai Kerian hingar-bingar dengan suara tangisan waris mangsa.

Katanya, para peniaga di kawasan berhampiran meninggalkan perniagaan mereka bagi membantu mencari mangsa yang tenggelam bersama van sekolah namun gagal ditemukan disebabkan arus sungai yang deras.

Jelasnya, seharian mereka menanti dengan harapan agar kesemua mangsa ditemukan namun usaha mencari hari pertama gagal menemukan mangsa.

“Pada hari kedua, van yang tenggelam ditemukan di dasar sungai dan ditarik dari sungai menggunakan kren.

“Sebaik sahaja van sekolah ditarik naik ke darat, kami dapati semua pelajar dalam van sekolah lemas dalam keadaan saling berpelukan.

“Tragedi yang meragut adik saya dan mangsa lain amat menyedihkan kami sekeluarga sehingga sekarang meski pun nahas itu telah 52 tahun berlalu.

“Setiap kali memandang ke arah kawasan Sungai Kerian, saya akan terkenang kembali tragedi feri karam pada tahun 1972,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×