SEREMBAN: Ancaman ikan asing khususnya ikan Pleco atau dikenali sebagai ikan bandar raya turut dihadapi negeri ini apabila Jabatan Perikanan mengesahkan sungai-sungai di sekitar kawasan Mambau, di sini terjejas dengan kehadiran spesies itu.
Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, Sungai Kampung Kayu Ara, Mambau khususnya terjejas dengan masalah tersebut dan dibuktikan menerusi pemantauan dilakukan bersama Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB), kelmarin.
Katanya, persampelan yang dibuat menggunakan jala di sungai itu baru-baru ini mendapati, sebanyak 41 ekor ikan bandar raya selain spesies ikan asing lain iaitu seekor ikan lampam Siam dan seekor tilapia hitam diperoleh dengan sekali tebar sahaja.
“Sungai ini diketahui memang sudah banyak ikan bandar raya dan kali ini disahkan lagi hasil pemantauan yang dibuat.
“Buat masa ini Sungai Kampung Kayu Ara paling banyak ikan bandar raya, di sungai-sungai lain kami ada juga menerima aduan tetapi perlu dibuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, sebagai usaha membanteras kehadiran ikan bandar raya, pihaknya bersama KPIB mengadakan Program Inventori Perikanan dan Buru Ikan Asing di Kampung Kayu Ara, bulan depan.
“Ia bukan hanya memburu ikan bandar raya tetapi ikan asing lain. Selepas itu pihak kami akan memantau di sungai-sungai lain berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.
Ikan bandar raya adalah spesies invasif yang mana tabiat pemakanan, pembiakan dan perkembangannya mengganggu habitat ikan asli di perairan tempatan. – UTUSAN







