KUALA LUMPUR: Pelawak, Rizal Van Geyzel mendedahkan dia kini lebih berhati-hati dalam berkongsi video jenaka di media sosial selepas pernah terpalit kontroversi yang menyentuh sensitiviti kaum di Malaysia dua tahun lalu.
Menurut Rizal Van Geyzel atau nama sebenarnya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 41, kejadian itu hanyalah satu bentuk buli siber terhadapnya dan tidak memberikan kesan secara langsung dalam alam nyata.
“Apa saya belajar adalah berhati-hati dengan apa yang diperkatakan ketika dalam talian. Tapi persembahan saya secara langsung tidak berubah. Sekarang ini saya masih buat hantaran ‘stand up comedy‘ secara dalam talian.
“Apa yang berlaku kepada saya hanya dalam talian, ini semua hanya ‘cybertrooper‘ dan di Malaysia isu buli siber juga adalah satu masalah. Bagi saya sememangnya tidak ada masalah dengan lawak yang saya sampaikan, apa yang berlaku ini adalah buli siber. Atlet yang masuk Olimpik juga tidak terlepas daripada buli siber.
“Kebanyakan pelawak akan lebih berhati-hati dengan apa sahaja kandungan yang mereka letak di dalam talian. Tapi, setiap komedi itu subjektif dengan mengikut cita rasa setiap orang,” katanya.
Rizal ditemui pada sesi sidang media Pua Chu Kang: The Greatest Show Man di Ibu negara semalam.
Selain itu, mengulas kontroversi dua tahun lalu berikutan jenaka yang didakwa telah menyentuh sensitiviti kaum di Malaysia, Rizal bersyukur kerana penahanan itu membuka matanya terhadap banyak perkara.
“Lawak yang saya dituduh salah itu sebenarnya tiada fitnah apa-apa, itu lawak dan fakta mengenai keluarga saya. Saya daripada keluarga campur, ayah dan emak saya berbeza kaum, itu sahaja.
“Tapi, mungkin disebabkan ketika itu pilihan raya jadi saya menjadi sasaran kerana pihak berkuasa juga ada memberitahu perkara sebegini memang akan ada setiap tahun.
“Semua pihak berkuasa yang proses kes saya, semuanya baik hati dan melihat saya sebagai mangsa buli siber,” ujarnya.
Sementara itu, Rizal turut mengakui agak terkilan daripada penutupan kelab komedinya selepas menerima kecaman dan aduan. Malah, lagi menyedihkan kecaman yang diterima bukan daripada orang yang berkunjung ke kelab berkenaan.
“Pada saya, perkara ini sedih sebab Malaysia adalah negara harmoni. Saya sedih kerana niat mahu menghibur orang ramai akhirnya menjadi begini.
“Serangan yang berlaku kepada saya mungkin dirancang sebab semua yang komen dan kecam bukan daripada mereka yang membeli tiket persembahan saya.
“Kalau orang yang beli tiket tidak suka dengan persembahan saya, mereka akan balik dan teruskan hidup sahaja. Tapi, kebanyakan yang komen adalah bukan daripada yang datang ke persembahan dan hanya tonton di media sosial,” katanya lagi.
Pada 14 Julai 2022, polis menahan Rizal yang juga pengasas bersama kelab komedi Crackhouse berhubung penularan dua klip video di premis berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.
Rizal kemudian didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Facebook, Instagram dan aplikasi TikTok miliknya menggunakan nama profil masing-masing ‘Rizal van Geyzel’, dan rizalvangeysel pada 4, 5 dan 6 Julai tahun sama.
Dalam perkembangan lain, Rizal bakal muncul di Phua Chu Kang: The Greatest Show Man yang dibawakan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd pada 24 dan 25 Oktober di HGH Convention Centre Sentul.
Selain Rizal, persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam 30 minit itu turut dihiburkan dengan pelawak Russell Curtin dan Gurmit Singh.-UTUSAN











