PUTRAJAYA: Sebarang pelaksanaan prosiding tatatertib yang sedang diambil terhadap pegawai awam yang didakwa atau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan (Akta 574) hendaklah dihentikan dan ditarik balik.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember tahun lalu yang memutuskan seksyen itu di bawah akta berkenaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.
Seksyen tersebut diputuskan sebagai tidak berperlembagaan atas alasan peruntukan itu mendiskriminasikan secara tidak adil terhadap kesaksamaan gender yang bertentangan dengan Fasal (2) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Arahan pemberhentian dan penarikan balik prosiding tatatertib itu dinyatakan melalui surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bertarikh 17 September 2024.
“Apa-apa pelaksanaan prosiding tatatertib yang sedang diambil terhadap pegawai yang telah didakwa atau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan (Akta 574) hendaklah dihentikan dan ditarik balik.
“Ketetapan ini juga turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan tertakluk penerimaan pihak berkuasa masing-masing,” katanya menerusi surat berkenaan.
Menerusi soalan lazim yang disertakan bersekali surat edaran berkenaan bagaimanapun menjelaskan, pegawai awam yang sedang dalam tindakan tatatertib atas kesalahan tatakelakuan menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang yang mana kesalahan tersebut dilaporkan terus ke Unit Integriti dan bukan berpunca daripada sabitan di bawah seksyen tersebut, kes itu boleh diteruskan.
Ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu melibatkan suatu kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah akta itu dan ia perlu dibezakan dengan kesalahan-kesalahan tatatertib yang diperuntukkan di bawah Bahagian II, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].
Di bawah P.U. (A) 395/1993, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBTT) mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman tatatertib berdasarkan tatakelakuan pegawai awam dalam perkhidmatan awam.
Dalam hal ini, kesalahan jenayah dan kesalahan tatatertib masing-masing melibatkan dua jenis prosiding yang berbeza iaitu prosiding jenayah di mahkamah dan prosiding tatatertib oleh PBTT.
“Apa-apa perlakuan yang tidak bermoral boleh menjadi asas kepada sesuatu kesalahan tatatertib bagi maksud perenggan 4(2)(d) P.U. (A) 395/1993 iaitu memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.
“Bagi maksud konteks melakukan hubungan sulit, tafsiran ‘memburukkan nama atau mencemarkan nama perkhidmatan awam’ adalah terjumlah sebagai melakukan perbuatan yang tidak bermoral sama ada diketahui secara umum ataupun tidak,” jelasnya.
Sebagai contoh, ketua jabatan menerima aduan berkenaan dengan hubungan sulit pegawai awam yang berdua-duaan dan melakukan perkara tidak bermoral di pejabat.
Dalam kes ini, ketua jabatan boleh memulakan tindakan tatatertib ke atas pegawai walaupun kes tersebut tidak diketahui umum kerana perlakuan itu melanggar tatakelakuan sebagai seorang pegawai awam.
“Pegawai awam seharusnya menjadi contoh dan teladan serta tidak seharusnya melakukan hubungan sulit walaupun tidak diketahui secara umum kerana ia merupakan perlakuan yang tidak bermoral,” katanya.
Selain itu, ketua jabatan hendaklah melakukan siasatan bagi memastikan kesahan kes tersebut dan sekiranya berdasarkan bukti didapati bahawa hubungan sulit berkenaan terjumlah kepada perbuatan yang tidak bermoral dan mencemarkan nama perkhidmatan awam, tindakan tatatertib boleh diambi.
Sebagai contoh, pegawai awam didapati berkucupan di dalam lif atau bertukar-tukar gambar lucah dan apa-apa perbuatan lain yang tidak bermoral.
Dalam hal ini juga, ketua jabatan boleh menasihati pengadu untuk merujuk kes tersebut kepada pejabat agama atau boleh merujuk kedua-dua pegawai tersebut kepada Pegawai Psikologi jabatan masing-masing untuk diberikan perkhidmatan kaunseling, mengikut mana-mana yang berkenaan. – UTUSAN











