KUALA LUMPUR: Pelakon, Pablo Amirul berharap agar pendedahan kisahnya yang terjebak dengan ajaran sesat, Millah Abraham dapat memberikan pengajaran kepada semua orang.
Kata Pablo atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd Sakri, 39, bersyukur kerana tersedar dengan kesilapan itu selepas terjebak hampir dua tahun kerana ajakan daripada bekas teman wanitanya.
“Saya sertai kerana cinta, saya terlalu percaya sebab cinta dan akhirnya kecewa disebabkan perkara ini juga.
“Saya sedar sepatutnya perkara ini tidak patut jadi kepada saya dan asyik terfikir dengan apa yang berlaku kerana disebabkan cinta saya jual akidah sebagai seorang Islam,” katanya ketika ditemui di Tayangan Perdana filem Housekeeping baru-baru ini.
Selain itu, pelakon filem Budak Flat itu berharap agar semua orang dapat mengambil pengajaran agar tidak mudah untuk meletakkan kepercayaan kepada seseorang.
“Saya sedar bahawa sudah menjadi mangsa, jadi saya fikir ia satu tanggungjawab kepada saya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai.
“Saya sudah melalui fasa itu dan sekarang ini apa yang saya ikuti ialah sembahyang lima waktu. Tidak dinafikan, ajaran sesat seperti itu masih berleluasa di luar sana.
“Harap semua berhati-hati apabila mencari jalan ketuhanan kerana benda ini terlalu banyak penunggang. Ambil pengajaran dari apa yang saya telah lalui ini dan nilaikan sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, pelakon itu telah mendedahkan dirinya terjebak selama dua tahun dalam ajaran sesat Millah Abraham kerana mengikut kekasih di Facebook.
Pablo juga telah meminta orang ramai agar melaporkan hal yang diceritakannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam (JAIS).
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Menurut ajaran sesat tersebut, Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad telah berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baharu iaitu Millah Ibrahim.-UTUSAN










