Perhilitan tangkap 10 gajah liar di Gerik - Utusan Malaysia

Perhilitan tangkap 10 gajah liar di Gerik

GAJAH betina dan anaknya antara 10 ekor gajah liar yang ditangkap dalam operasi di Tanjung Rimbun, Bandariang, Gerik baru-baru ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kebimbangan penduduk Tanjung Rimbun, Bandariang dekat sini berkaitan gangguan gajah liar sedikit reda apabila 10 ekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman berjaya ditangkap.

Tangkapan kawanan gajah liar dari ID Belum itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dalam operasi bermula Ahad lalu.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, aduan gangguan gajah liar di kawasan Bandariang diterima sejak awal tahun dengan beberapa tangkapan telah dibuat sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, pemantauan diteruskan di kawasan berkenaan yang kemudian membawa kepada tangkapan 10 ekor gajah liar termasuk anak gajah berusia empat bulan.

“Kita memang pantau konflik gajah liar di kawasan ini sejak beberapa bulan lalu, malah ini merupakan tangkapan gajah liar terbesar di Perak setakat ini.

“Gajah liar yang ditangkap ini terdiri daripada lima ekor gajah jantan dan lima ekor gajah betina dengan anggaran umur antara empat bulan hingga 35 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, proses translokasi kesemua gajah liar itu akan diadakan secara berperingkat mulai hari ini dan dijangka mengambil masa sekitar enam hari.

Katanya, khidmat dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai akan digunakan dalam proses berkenaan.

“Faktor cuaca juga diambil kira dalam proses translokasi itu nanti. Kita jangka kerja-kerja memindahkan gajah liar ini mengambil masa sekurang-kurangnya enam hari.

“Proses ini akan dikendalikan oleh 27 kakitangan Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN