Pelan sifar plastik diakui tersasar

Pelan sifar plastik diakui tersasar

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia tersasar dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik mes­kipun sudah merangka dua pelan sebagai panduan un­tuk menangani isu pencemarannya di negara ini.

Kerajaan sebelum ini menggariskan Pelan Hala Tu­ju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 sebagai usaha menangani masalah lam­bakan pembuangan plastik khususnya di lautan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagaimanapun pelaksa­naan kedua-dua agenda itu sedikit ‘lari’ daripada objektif asal ekoran pandemik Covid-19 yang menyaksikan penggunaan plastik terus meningkat sekali gus menjadi penyumbang masalah mikroplastik.

Kata beliau, pihaknya ber­usaha memastikan semua perancangan itu dapat di­realisasikan tanpa merangka pelan baharu sebagai langkah ke hadapan peralihan bebas plastik.

“Sebenarnya kita sudah ada dua pelan hala tuju tentang plastik, iaitu Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna dan Pelan Hala Tuju Kelesta­rian Plastik. Itu jadi panduan.

“Namun kita lihat mungkin sebahagiannya bila kita berdepan pandemik Covid-19, ada banyak penggunaan (plastik), banyak penghantaran makanan. Sebelum ini kita berhenti guna penyedut plastik minuman namun sebab takut Co­vid-19 (ramai tidak guna).

“Jadi ia melambatkan sedikit, kita terlari sedikit daripada kedua-dua pelan hala tuju,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, dianggarkan rakyat Malaysia ‘menelan’ 502.3 miligram (mg) mikroplastik sehari per kapita memandangkan lebih 50 peratus rakyatnya memakan ikan sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kira-kira 48,639 kes baharu kanser setiap tahun.

Malah penggunaan plastik dalam kalangan rakyat me­ningkat ketika pasca-Co­vid-19 apabila orang ramai lebih cen­derung menempah makanan menerusi platform penghantaran ke rumah.

Bahkan kebanyakan res­toran dan kedai makanan memilih untuk menghidangkan makanan dan minuman dengan bekas plastik kerana kekurangan pekerja sekali gus menyebabkan penggunaannya lebih tinggi berbanding empat tahun lalu.

Nik Nazmi berkata, kerajaan sedang melihat bagaimana untuk bergerak ke hadapan bagi memastikan pelan-pelan tersebut dapat mencapai matlamat ditetapkan dengan hala tuju yang jelas di samping secara menyeluruh dan realistik.

Katanya, ini memandangkan ada beberapa negeri dan sektor tidak melaksanakan agenda bebas plastik.

“Saya tengok negeri-negeri juga berbeza. Namun ada juga negeri misalnya Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur antara ke hadapan (kempen bebas plastik). Kalau di Pulau Pinang, caj plastik sampai RM1.

“Malah ada sektor belum (melaksanakannya) seperti pasar malam dan pasar tani. Maka ia perlu rancang secara menyeluruh, kena realistik dan memahami keadaan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan mampu mencapai matlamat sifar plastik menjelang 2030, Nik Nazmi berkata, sasaran itu mencabar ekoran negara lewat dalam beberapa aspek terutama selepas dunia berdepan Covid-19.

Namun katanya, kerajaan sangat serius dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali gus ke arah bebas bahan terbuang itu di samping me­ningkatkan aktiviti kitar semula.

“Apabila kita terpaksa meng­gunakan plastik, kita kena tingkatkan kitar semula. Jadi ia aspek sangat penting. Kita minta syarikat-syarikat semakin terbuka untuk melihat opsyen mengurangkan plastik seperti pembungkusan pembekalan makanan.

“Kalau boleh kurangkan, cuba aspek kurangkan. Sebab tarikan plastik ini murah, kalau ada alternatif kita gunakan alternatif,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai memainkan peranan dan menegaskan segala agenda bebas plastik berdepan kekangan jika tidak disambut rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN