PETALING JAYA: Hujan pada musim tengkujuh menjelang penghujung tahun ini dijangka lebih buruk berbanding tahun-tahun lalu.
Musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) lazimnya menyebabkan beberapa episod hujan lebat di kebanyakan tempat di seluruh negara terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Hujan lebih daripada 60 milimeter (mm) dalam tempoh dua hingga empat jam secara lazimnya boleh menyebabkan banjir kilat.
Setakat ini, tiada lagi ramalan musim tengkujuh bila dijangka bermula, namun kebiasaannya pada pertengahan November.
Felo Akademi Malaysia, Dr. Fredolin Tajudin Tangang berpandangan, keadaan La Nina lazimnya mengukuhkan monsun timur laut yang membawa hujan lebat.
Justeru, katanya, jumlah kelembapan yang bertumpu ke kawasan Asia Tenggara semasa La Nina menjadi antara faktor risiko fenomena hujan ekstrim dan banjir besar semasa musim monsun timur laut akan datang.
“Bagaimanapun menurut ramalan yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, keadaan di Lautan Pasifik masih dalam keadaan ‘ENSO-Nuetral’ dan dalam beberapa bulan akan datang sehingga hujung tahun ini, kebarangkalian El Nino berlaku ada sekitar 70 hingga 74 peratus.
“Pusat Ramalan Iklim APEC ( APCC) yang berpusat di Busan, Korea Selatan meramalkan jika La Nina berlaku pada tahun ini ia dijangka berkategori lemah.
“Ramalan musim dari pusat ini menunjukkan keadaan di rantau ini termasuk di Semananjung Malaysia, Sarawak dan Sabah pada musim tengkujuh nanti dijangka lebih basah berbanding normal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) meramalkan kemungkinan kesan penyejukan La Nina muncul menjelang akhir tahun ini adalah sebanyak 60 peratus.
Selain itu, kebarangkalian pembentukan La Nina diramalkan pada 55 peratus dari September hingga November tahun ini dan dijangka meningkat kepada 60 peratus dari Oktober 2024 hingga Februari 2025.
Fredolin Tajudin berkata, keadaan hujan ekstrim yang boleh menyebabkan banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia bagaimanapun tidak semestinya bergantung kepada keberadaan La Nina.
“Hujan ekstrim dan banjir besar pada Disember 2014 berlaku walaupun tanpa kewujudan La Nina.
“Jika berlaku lururan sejuk yang kuat ditambah pula dengan kehadiran faktor lain seperti kewujudan Ayunan Madden Julian pada ketika itu berpotensi menjana hujan ekstrim.
“Faktor-faktor ini tidak boleh diramal dalam masa jangka panjang dari sekarang tetapi ramalan harian yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sekurang-kurangnya mampu meramal beberapa hari sehingga tujuh hari sebelum fenomena berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Meteorologi dari Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES) Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan Abu Samah berpendapat, peningkatan hujan lebat bergantung kepada keadaan fenomena La Nina sama ada kuat atau sebaliknya.
Menurutnya, ini kerana La Nina merangsang keadaan membentuk hujan disebabkan adanya luruan udara sejuk dan pusat tekanan rendah.
“Sekiranya La Nina itu kuat, maka kita akan dapat 10 hingga 20 peratus lebihan hujan, jadi risiko untuk banjir itu sedikit tinggi.
“Kebanyakan banjir kita misalnya pada 2021 selalu dikaitkan dengan La Nina. (Namun), kalau La Nina tidak kuat atau lemah, kita (tetap) ada banjir tahunan, jadi setiap musim tengkujuh itu ada banjir, cuma bergantung kepada La Nina kuat atau lemah,” katanya.
Pada masa sama, beliau percaya kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia menghadapi kemungkinan banjir menerusi di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20.
“Selalunya yang menjadi masalah itu ialah apabila banjir tersebut berlaku di luar jangkaan seperti di Taman Sri Muda, Shah Alam. (Ketika itu), jangkaannya ialah di Pantai Timur. Jadi model tekanan rendah itu sepatutnya berada di Pantai Timur.
“Tetapi dalam masa 24 jam kawasan tekanan rendah bergerak dan berada di Selat Melaka, jadi itu yang di luar jangkaan,” katanya. – UTUSAN










