Malaysia terus teroka minyak, gas di Laut China Selatan – PM

Malaysia terus teroka minyak, gas di Laut China Selatan – PM

ANWAR Ibrahim berucap pada Sesi Plenari Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF 2024) di Vladivostok, Rusia, semalam. – IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meneruskan operasi penerokaan kawasan yang berpotensi mem­punyai minyak dan gas di Laut China Selatan meskipun menerima bantahan China kononnya negara ini melepasi sempadan dibenarkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan dalam kawasan perairan negara dan Malaysia tidak membuat sebarang provokasi.

“Mengenai kawasan tersebut yang dibantah oleh China, kita menegaskan ini adalah kawasan kita, tetapi kita terbuka untuk berbincang.

“Tetapi penerokaan minyak ini dalam kawasan perairan kita. Kita mungkin akan memberi respons kepada China, menerangkan kedudukan kita, tetapi kita bukan melakukan tindakan provokasi.

“Kita perlu meneruskan pe­nerokaan di perairan kita dan menjamin kelebihan kita, termasuk operasi mencari gali dalam kawasan kita sendiri. Beijing hantar nota bantahan kerana dia rasa itu kawasan dia.

“Tetapi kita kena teruskan operasi ini kerana ini adalah berkaitan kelangsungan ekonomi kita,” katanya ketika sidang media Malaysia sempena lawatan kerja dua hari di Vladi­vostok, Russia semalam.

Sebelum ini, media Filipina melaporkan kebocoran nota diplomatik yang dihantar oleh Beijing kepada Malaysia, menyuarakan bantahan terhadap operasi Petronas di kawasan tersebut.

Nota menunjukkan dakwaan Beijing bahawa penerokaan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan telah memasuki sempadan perairan China.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai polisi dan prinsip yang ketat untuk tidak menceroboh masuk ke kawasan negara lain.

“Mereka (China) tahu ke­du­dukan kita. Mereka dakwa kita menceroboh masuk kawa­san mereka. Kita kata tidak, itu kawasan kita. Tetapi jika mereka terus tidak puas hati, maka okay, kita akan mende­ngar, dan mereka juga perlu bersedia mendengar,” katanya.

Wisma Putra semalam me­negaskan kebocoran maklumat itu akan disiasat secara rapi memandangkan ia mengan­dungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.

Media antarabangsa sebe­lum ini melaporkan China ber­tegas mahu menguasai hampir keseluruhan Laut Chi­na Selatan, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seluas 200 batu nautika yang dikongsi Malaysia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Vietnam, adalah di bawah kedaulatannya.

Di bawah undang-undang antarabangsa, EEZ tidak menandakan kedaulatan sesebuah negara, tetapi memberi hak kepada negara berkenaan untuk mengekstrak hasil bumi di dalam zon tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya