Malaysia 'tapak pelupusan' plastik dunia

Malaysia ‘tapak pelupusan’ plastik dunia

Anggota-anggota penguat kuasa menyerbu kilang memproses plastik semasa operasi bersama agensi-agensi penguat kuasa di Jenjarom, Selangor pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu daripada penyumbang terbesar ‘kebanjiran’ mikroplastik di perairan negara berpunca daripada penghasilan sampah plastik domestik yang dibuang oleh rakyat Malaysia dengan purata mencecah 1.07 juta tan setahun.

Memburukkan lagi keadaan itu, Malaysia juga menjadi ‘tapak pelupusan’ plastik dari beberapa negara maju iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Belanda, Jepun Australia, Jerman, Belgium, Kanada, Itali, Sepanyol, Singapura dan lain-lain, yang mana pada tahun lalu sahaja dianggarkan 552,000 tan sisa plastik dieksport ke sini untuk dilupuskan.

Berdasarkan statistik dikongsikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Basel Action Network kepada Utusan Malaysia, dianggarkan 816,000 tan sisa plastik dieksport ke Malaysia pada tahun 2020 namun jumlahnya menurun kepada 420,000 tan (2021) dan 408,000 tan (2022).

Sisa plastik dari EU merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan eksport bahan buangan tersebut apabila mencatatkan 360,000 tan pada tahun 2020; 144,000 tan (2021); 192,000 tan (2022) dan 286,000 tan (2023).

Penyelidik Alam Sekitar dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre), Nabila Zulkeflee berkata, Malaysia menjadi salah satu hub bahan buangan terbesar, terutamanya bahan buangan plastik sejak China mula melarang untuk mengimport sekitar 26 jenis buangan sisa pepejal, termasuk plastik pada tahun 2018.

Katanya, sebelum itu, China merupakan negara pengimport bahan buangan terbesar di dunia sebelum mengambil tindakan drastik dengan mewartakan larangan tersebut.

“Jadi, sejak pada itu, negara-negara yang mengeksport bahan buangan plastik terpaksa menukar destinasi bahan buangan mereka dan memilih negara–negara yang mempunyai undang-undang pengurusan sisa kurang ketat atau masih lemah supaya proses eksport akan menjadi lebih mudah.

“Justeru, negara–negara yang sedang membangun di ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Philippines termasuk Malaysia menjadi mangsa destinasi bahan buangan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NABILA ZULKEFLEE

Berdasarkan laporan, Jepun juga mengeksport sisa plastik ke Malaysia dalam jumlah amat membimbangkan iaitu sekitar 220,000 tan pada 2018; lebih 250,000 tan (2019 dan 2020); 210,000 tan (2021); 155,000 tan (2022 dan 2023).

Lebih membingungkan, penyedia perkhidmatan tenaga dari United Kingdom (UK), Utility Bidder mendedahkan bahawa Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik per kapita setiap tahun, sekali gus meletakkan negara ini di tangga kelima tertinggi di dunia yang menyebabkan pencemaran laut.

Kajian pencemaran plastik dilakukan Utility Bidder ini bagi mengenal pasti negara yang paling banyak mengeksport sisa, negara yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi mengeluarkan sisa plastik dan negara yang paling banyak melakukan salah urus sisa.

Menyuarakan kebimbangan pihaknya, Nabila berkata, jumlah sisa plastik import yang sangat besar dan tidak ada tanda untuk berhenti mengelakkan Malaysia untuk maju dari segi kapasiti dan kemampuan bagi menguruskan sampah sedia ada.

Malah menurutnya, berdasarkan kajian, jika pengurusan sampah negara masih lagi berjalan seperti biasa tanpa penambahbaikan, Malaysia berkemungkinan kehabisan ruang untuk membuat tapak pelupusan sampah menjelang tahun 2050.

“Jadi, besar kemungkinan akan terdapat lebih banyak lagi pembuangan sampah haram yang negatif kepada alam sekitar dari sudut pencemaran air, udara dan juga memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia,” katanya.

Mengulas lanjut, Nabila berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia, Malaysia hanya mengitar semula kira-kira 24 peratus daripada resin plastik utama yang digunakan sepanjang tahun 2019.

“Setiap tahun kita menghasilkan kira-kira 1.07 juta tan sisa plastik dan kehilangan 81 peratus daripada nilai material yang dianggarkan sekitar USD1.1 bilion setahun (RM4.95 bilion) setahun.

Sementara itu, Penyelidik Alam Sekitar, Wong Pui Yi berkata, status Malaysia sebagai pusat pelupusan sisa plastik dunia kerana menjadi negara pengimport bahan buangan tersebut memburukkan lagi pencemaran mikroplastik terhadap alam sekitar.

Menurutnya, pada Disember 2023, terdapat peningkatan membimbangkan dalam eksport sisa plastik dari Jepun ke Malaysia disebabkan dua jenis bahan plastik sukar untuk dikitar semula iaitu PVC dan styrene, dihantar ke negara ini.

“Kedua-dua sisa plastik tersebut merupakan dikenali sangat sukar untuk dikitar semula kerana sifatnya dan tahap toksiknya. Dianggarkan sisa plastik PVC dieksport ke Malaysia sepanjang 2023 adalah sebanyak 15,000 tan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN