KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland terhadap Ketua Pegawai Pelaburan PetroSaudi International Ltd (PSI), Patrick Mahoney dan Eksekutif syarikat itu, Tarek Obaid tidak pernah mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal kewangan terbesar negara.
Sebaliknya, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan, mahkamah tersebut dalam penghakimannya menyatakan Mahoney dan Obaid yang telah memperdayakan keseluruhan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk ahli lembaga pengarah.
“Adalah penting untuk dinyatakan bahawa keputusan mahkamah Switzerland menolak pembelaan mereka bahawa Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) adalah wakil kepada Najib. Terdapat keterangan dan bukti bebas yang menolak sebarang tanggapan bahawa Najib memberikan kebenaran kepada Jho Low (terutamanya) berkaitan perjanjian usaha sama dengan PSI.
“Ini juga adalah bukti di mahkamah ini. Sewaktu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), ketika disoal oleh Tony Pua (bekas anggota PAC yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), Shahrol (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi) sendiri menafikan bahawa Jho Low ketika menghadiri mesyuarat di 1MDB sekitar 2009 hadir sebagai wakil Najib sebaliknya hadir mewakili Putera Turkiye.
“Jho Low hadir mewakili PSI dan bukannya Najib. Najib tidak boleh diwakili oleh Jho Low kerana beliau diwakili oleh Lembaga Pengarah (1MDB),” hujah peguam itu.
Beliau berkata demikian ketika berhujah di akhir pendakwaan yang memasuki hari kelima di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Pada perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa 1MDB dan PSI sepatutnya memasuki perjanjian usaha sama yang mana PSI akan memiliki pegangan saham sebanyak 60 peratus manakala pegangan saham selebihnya iaitu 40 peratus adalah milik 1MDB.
Mahkamah turut diberitahu bahawa 1MDB akan menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion manakala PSI hanya menyuntik dana berjumlah AS$108 juta.
Dana AS$1 bilion itu kemudian telah dipindahkan dalam dua transaksi iaitu sebanyak AS$700 juta ke akaun Good Star Limited milik Jho Low juga syarikat sekutu PSI dan AS$300juta ke akaun JVCo yang mana akaun tersebut dipegang oleh PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.; sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.
Hujahan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin LAwrenve Sequerah masih berjalan. – UTUSAN










