PETALING JAYA: Kuala Lumpur berdepan kepadatan 2.1 juta penduduk yang hampir menyamai populasi Kedah dan Sarawak yang merekodkan 2.2 juta dan 2.5 juta orang.
Berdasarkan data populasi Jabatan Perangkaan, angka berkenaan menyaksikan peningkatan 300,000 penduduk dalam tempoh lima tahun sejak 2019 yang ketika itu merekodkan hanya 1.8 juta orang di dalam Kuala Lumpur yang berkeluasan 2,432 kilometer persegi.
Keadaan tersebut menyebabkan nisbah kadar pembangunan dibenarkan dengan keluasan tanah di Kuala Lumpur juga meningkat kepada 1:14 berbanding 1:10 sebelum ini, sekali gus mengakibatkan berlaku pembangunan tidak terancang dan kesesakan penduduk.
Pengerusi Save Kuala Lumpur, Datuk M. Ali berkata, ibu negara kini berhadapan kepadatan penduduk apabila terus menjadi tumpuan penghijrahan rakyat dari negeri lain mencari rezeki dan peluang kerja.
Katanya, situasi berkenaan menyebabkan kewujudan pembangunan kawasan perumahan baharu bagi menampung jumlah penduduk di samping pembinaan bangunan pejabat dan pasar raya untuk keperluan ekonomi dan tuntutan harian.
“Tidak boleh digambarkan, banyak pembangunan terpaksa menggunakan kawasan yang sepatutnya untuk tujuan rekreasi untuk pembinaan kediaman dan hartanah. Akhirnya berlaku pembangunan tidak terancang dan menjejaskan ekosistem alam sekitar berhampiran.
“Lebih menyedihkan, pembangunan tidak dibuat mengikut aspek tuntutan orang ramai misalnya kemudahan rekreasi, pengangkutan dan sebagainya. Maka timbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Kuala Lumpur dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus di Masjid India yang berpunca antaranya disebabkan aktiviti manusia, cuaca dan hakisan lapisan tanah tambak di bawah permukaan.
Malah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan batuan dasar di Kuala Lumpur didasari oleh sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit dan batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding.
Malah pakar geologi berpandangan ancaman terbesar di sesebuah bandar yang membangun bukanlah petaka semula jadi tetapi daripada tindakan manusia sendiri.
Mengulas lanjut, M. Ali berkata, Kuala Lumpur tidak boleh lagi dijadikan fokus utama pembangunan dan tarikan ekonomi, sebaliknya perlu melibatkan negeri berhampiran iaitu Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, gabungan ketiga-tiga negeri itu dengan fokus peluang pekerjaan, pembangunan dan pengangkutan mampu mengurangkan kesesakan dan kepadatan Kuala Lumpur dan sekali gus mengekang aktiviti pembangunan yang menyumbang kepada kejadian alam.
“Ini memerlukan satu pelan strategi untuk melihat daripada segi penglibatan bandar dan kawasan lain untuk menyokong pembangunan pusat bandar selain Kuala Lumpur,” katanya.
Malah katanya, kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu merangka satu pelan strategi dan jangka panjang untuk melihat semula masalah kepadatan penduduk khususnya membabitkan pembangunan kediaman, pusat pendidikan dan pengangkutan.
“Kadang-kala ada pembangunan tanpa meletakkan peranan komuniiti, akhirnya pemaju tidak menitikberatkan kesan-kesan masa panjang, sekali gus berlakulah pelbagai masalah seperti sekolah sesak, masalah sosial dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN










