PETALING JAYA: Kerajaan melantik PBH Asset Management Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan persekutuan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dengan nilai kontrak sebanyak RM69 juta bagi tempoh tiga tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penyenggaraan tersebut melibatkan kerja rutin (sepanjang tahun), kerja berkala permukaan jalan berturap, kerja berkala bukan permukaan jalan berturap dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pula bertindak dalam operasi, penyenggaraan dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma-terma dan syarat-syarat oleh syarikat terbabit.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa kerja penyenggaraan jalan ini melibatkan fasiliti awam dan pastinya ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Justeru, suka untuk saya mengingatkan kepada PBH Asset Management Sdn. Bhd. untuk memastikan penyampaian perkhidmatan ini berjalan lancar, mengikut spesifikasi dan masa ditetapkan sebagaimana syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian kontrak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. –UTUSAN










