E&O perkenal AVÉA kediaman tepi marina di Pulau Andaman

E&O perkenal AVÉA kediaman tepi marina di Pulau Andaman

AVÉA merangkumi 1,080 unit apartmen servis pegangan bebas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAJU hartanah, Eastern & Oriental Berhad (E&O) melancarkan AVÉA, fasa terbaharu kediaman servis tepi marina di Pulau Andaman dengan harga bermula daripada RM724,000.

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, projek pembangunan pulau baharu, Tower A mencatat jualan sebanyak 65 peratus setakat ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pembeli terhadap prospek pembangunan jangka panjang kawasan tersebut.

Katanya, projek yang dilancarkan pada Disember 2024 itu akan terus dibangunkan secara berfasa dengan pelbagai komponen ekonomi dan komersial dirancang dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Kami telah melancarkan enam hingga tujuh produk kediaman dan akan terus memperkenalkan projek baharu mengikut kesesuaian pasaran serta kemajuan pembangunan semasa,” katanya dalam sesi taklimat kepada media baru-baru ini.

Tuck Cheong berkata, selain pembangunan kediaman, perancangan masa depan turut merangkumi sektor hospitaliti, kesihatan, pendidikan, perubatan dan ruang komersial runcit bagi mewujudkan sebuah bandar moden yang lengkap.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan strategik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi mengendalikan kemudahan seperti hospital, institusi pendidikan dan perkhidmatan lain.

“Kami percaya pembangunan berskala besar seperti ini memerlukan kerjasama dengan pihak yang berpengalaman bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai potensi pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan, beliau berkata, lokasi projek yang berada dalam koridor pelancongan Pulau Pinang membuka peluang untuk menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa pada masa depan.

Katanya, pelbagai tarikan dan kemudahan akan dibangunkan secara berperingkat berdasarkan keperluan pasaran dan jurang yang dikenal pasti dalam ekosistem pelancongan negeri itu.

Selain itu, pembangunan berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian alam sekitar dengan penyediaan kawasan hijau yang luas serta infrastruktur yang menyokong pengangkutan awam dan kecekapan tenaga.

Beliau berkata, sebahagian besar pembeli projek masih terdiri daripada rakyat tempatan dengan kadar melebihi 80 peratus, manakala selebihnya melibatkan pembeli asing termasuk dari Singapura, Taiwan dan United Kingdom.

Katanya, sambutan terhadap projek pembangunan hartanah di Pulau Pinang secara keseluruhan kekal memberangsangkan meskipun pasaran berdepan pelbagai cabaran ekonomi global.

“Kami melihat minat pembeli tempatan masih kukuh dan ini memberi keyakinan kepada kami untuk meneruskan pelaksanaan pelan pembangunan jangka panjang yang telah dirancang,” katanya.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion itu memperkukuh penawaran kediaman berkonsepkan tepi laut dalam pembangunan pulau berkenaan.

AVÉA merangkumi 1,080 unit apartmen servis pegangan bebas yang lengkap projek itu menawarkan lima pilihan susun atur berkeluasan antara 678 kaki persegi hingga 1,076 kaki persegi bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden dan pelabur yang mencari keseimbangan antara kemudahan, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang.

Pelancaran AVÉA menyusuli kejayaan Maris, kediaman pertama tepi marina di Andaman yang diperkenalkan pada Disember 2024.

Terletak di atas tapak pegangan bebas seluas 2.02 hektar dengan status komersial, AVÉA bakal menampilkan sebuah promenade tepi laut yang merangkumi 10 lot kedai komersial, kafe serta ruang komuniti. 

Promenade itu dirancang bagi menyokong pelbagai aktiviti runcit, makanan dan minuman serta gaya hidup untuk penduduk dan pengunjung.

Pembangunan ini turut menawarkan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, taman landskap, gelanggang sukan, ruang acara, taman atas bumbung, kawasan kecergasan terbuka serta gimnasium. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN