TENOM: Isteri kepada pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, antara empat saksi yang akan dipanggil dalam perbicaraan gangguan seksual membabitkan pendakwah berkenaan yang disambung semula esok.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memberitahu mahkamah bahawa isteri tertuduh antara tiga saksi lain yang akan dipanggil sebelum pendakwaan memanggil Pegawai Penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri.
Pada perbicaraan minggu ini dijadual pada 3 hingga 5 September, pendakwaan dikatakan akan turut memanggil dua jurugambar dari Cybersecurity Malaysia untuk memberi keterangan dalam pemeriksaan utama.
Setakat ini, sembilan saksi telah dipanggil termasuk pengadu dalam kes gangguan seksual tersebut.
Lapan saksi lain yang telah dipanggil termasuk penceramah motivasi Mohd. Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi dan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung.
Saksi lain yang telah dipanggil adalah Asisten Superitendan Salwani Mohd. Hadzir; Asisten Superintendan Siti Nooraini Mohd. Sahid; Asisten Superintendan Norfazliyani Zolkapeli; Superintendan Hirdawati Isa; Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz dan Inspektor Yip Chang Ching.
Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. –UTUSAN