PETALING JAYA: Penglibatan doktor pakar dengan kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menghakis kepercayaan rakyat kepada profesion kedoktoran dan sistem kesihatan negara.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamaluddin Ab Rahman berkata, kehilangan kepercayaan rakyat merupakan satu perkara yang amat membimbangkan kerana selama ini doktor dilihat ‘bersih’ dan bukan mata duitan.
Menurut beliau, pendedahan tersebut sekali gus menyukarkan Kementerian Kesihatan pengamal-pengamal perubatan dan pakar lain untuk pencegahan dalam isu kesihatan kerana terlalu banyak perkara ‘sumbang’ serta tidak mematuhi etika kedoktoran.
“Nanti kita terpaksa merayu dengan rakyat untuk mendengar pengamal perubatan kerana mereka sudah tidak percaya dan mempunyai syak wasangka dengan apa sahaja tindakan doktor. Ini semua berpunca banyak doktor yang terlampau berkiblatkan duit.
“Hanya kerana mahu menjadi kaya raya dengan cepat, jadi dengan mudah mereka menggadaikan etika mereka sebagai pengamal perubatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, sebanyak lima doktor pakar tulang daripada 36 individu yang dipercayai terbabit dengan kartel pemalsuan tuntutan Perkeso yang berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.
Kesemua mereka yang terlibat itu kini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan.
Modus operandi yang digunakan kartel itu adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).
Mengulas lanjut, Dr. Jamaluddin berkata, tindakan kartel tersebut akan menyebabkan kos perubatan menjadi semakin tinggi hingga menyaksikan rakyat kehilangan akses kepada perkhidmatan tersebut.
“Negara kita sekarang merupakan antara negara yang mempunyai perkhidmatan (perubatan) yang universal atau menyeluruh dengan bayaran yang kecil. Jadi apabila kos semakin tinggi maka kerajaan akan menjadi semakin tidak mampu untuk menampung.
“Jika situasi itu berlaku dengan kerajaan mungkin tidak berani nak mewujudkan skim pembiayaan kesihatan, di mana rakyat perlu kongsi tanggungjawab untuk membiayai perubatan dalam negara. Apa kerajaan boleh buat?
“Adakah kita mahu kerajaan mengorbankan atau mengurangkan kualiti ubat atau alat-alat perubatan?” soalnya.
Tambahnya, tindakan kartel itu secara tidak langsung menjejaskan sistem kesihatan negara dan pelbagai pihak lain.
Oleh kerana itu, beliau berkata, pendedahan mengenai kartel itu akan menyebabkan lebih banyak penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan kegiatan kumpulan tersebut dapat dinoktahkan.
“Kita juga perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk memantau kegiatan-kegiatan tersebut,” katanya. – UTUSAN










