SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum sampai kepada tempoh untuk mengumumkan calon
Menteri Besar daripada parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah parti yang baru pertama kali memasuki gelanggang pilihan raya atas nama sendiri, trend dan situasi sokongan semasa masih lagi diberikan keutamaan.
“Itu akan sampai masa nanti, kita tak perlu hendak umumkan apa-apa, kita tengok trend keadaan situasi macam mana, insya-Allah kalau sokongan kuat, kami yakin boleh dapat sejumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. Tentu ada jawatan menteri besar yang perlu diisi. Tetapi buat sementara kami tidak lagi putuskan apa-apa lah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program ceramah Rapat Rakyat Bersatu Demi Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama DUN Sikamat di sini malam tadi.
Ditanya sama ada Bersatu dilihat menjadi ‘king maker’ selepas keputusan pilihan raya nanti, Muhyiddin berkata, perkara itu boleh diramalkan memandangkan sentimen sokongan dan penerimaan rakyat kepada parti itu masih belum diketahui.
“Walaupun di peringkat awal semasa hari penamaan calon nampak ada sambutan, ada tempat nampak meriah, tidaklah sepi, sunyi, itu petanda baik.
“Tetapi pilihan raya ini kita boleh terlalu yakin, kita kena kerja keras, kempen mesti berjalan, jentera mesti licin, lancar dan sebagainya,” katanya.
Muhyiddin sementara itu berkata, manifesto Bersatu sempena PRN Negeri Sembilan sedang dirangka oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin.
“Tiap-tiap kali ada pilihan raya umum dan sebagainya itu, beliau yang bincang bersama-sama tentang apa yang dianggap penting untuk Negeri Sembilan. Apa perkara utama yang hendak kita beri perhatian.
“Ringkasnya antara lain adalah isu ekonomi, infrastruktur, kesihatan, awam, isu pendidikan. Banyak perkara lagi dan ini akan disenaraikan dan akan dilancarkan dalam beberapa tempoh yang akan datang,” katanya.-UTUSAN.










