PETALING JAYA: Pemuda UMNO mahu kerajaan mengharamkan pertubuhan yang mengendalikan rumah amal yang didakwa mengamalkan seks luar tabii terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya sekiranya didapati benar-benar berlaku.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, selain diharamkan pertubuhan tersebut, hukuman paling berat perlu diberikan kepada pelaku jika didapati bersalah.
“Mohon kepada mana-mana (pihak) yang ada maklumat ataupun berada di dalam situasi sama tentang perkara yang menyesatkan sebegini untuk jangan takut maklumkan pada pihak berkuasa.
“Kita mohon juga pada pihak berkuasa untuk rempuh dan siasat di setiap cawangan mereka dan pastikan perkara ini tidak berlaku di tempat lain juga,” katanya.
Dr. Akmal juga menegaskan amalan seks luar tabii adalah menyimpang dari agama Islam sebaliknya merupakan ajaran syaitan.
Semalam, polis menyerbu 20 rumah amal masing-masing 18 buah di Selangor dan dua di Negeri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang seksual dan juga perbuatan cabul terhadap kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga 17 tahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada 2 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis berkaitan dakwaan itu di Port Dickson dan beberapa laporan sama turut dibuat di beberapa tempat selepas itu.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, PDRM membuka lapan kertas siasatan membabitkan empat di Selangor dan empat di Negeri Sembilan.
Antara modus operandi yang disyaki dijalankan di premis tersebut adalah mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – UTUSAN











