PETALING JAYA: Tabiat individu termasuk ahli keluarga mencium, memegang atau menyentuh kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan di bawah usia 18 tahun berisiko terpalit dengan kesalahan melakukan gangguan seksual di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Perkara itu terkandung di bawah Seksyen 14 dan 15 akta tersebut yang memperuntukkan pelbagai kesalahan gangguan seksual fizikal atau secara sebaliknya terhadap kanak-kanak tanpa mengira talian persaudaraan.
Jika sabit kesalahan, individu yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali serta boleh dikenakan sebatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Redza Zakaria berkata, kesalahan gangguan seksual kanak-kanak tidak hanya membabitkan perbuatan rogol dan mencabul, sebaliknya tindakan fizikal yang menyebabkan mangsa berasa tidak selesa.
Beliau berkata, perbuatan merakam gambar kanak-kanak untuk melakukan aktiviti yang bersifat seksual juga satu kesalahan.
“Undang-undang ini menyeluruh, tidak mengira sesiapa pelaku sama ada bapa, abang, adik atau datuk. Mana-mana gangguan seksual terhadap kanak-kanak adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak seperti membuat isyarat, bunyi dan lain-lain.
“Malah amang seksual bukan fizikal seperti menyebabkan seseorang kanak-kanak memerhati orang itu atau mana-mana orang lain sedang melakukan aktiviti yang bersifat seksual juga satu kesalahan di bawah akta ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kes seksual dalam kanak-kanak yang dilakukan keluarga sendiri semakin membimbangkan di negara ini apabila menunjukkan peningkatan sejak empat tahun lalu dengan statistik menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak 2020.
Kes tersebut meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
Menurut Redza, rakaman video dan gambar kanak-kanak juga menjadi satu kesalahan sekiranya perbuatan itu membawa penghasilan pornografi melibatkan individu bawah umur.
“Walaupun ia belum berbentuk kepada penghasilan pornografi, tetapi sebarang perbuatan yang menjurus kepada video dan gambar untuk tujuan ini adalah bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak bergantung kepada siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa sama ada perbuatan itu benar-benar mempunyai gangguan seksual.
Katanya, ini bermakna pihak berkuasa perlu menyiasat aduan diterima terlebih dahulu sebelum menuduh pelaku di mahkamah.
“Jika tidak, masyarakat akan menganggap tidak boleh langsung sentuh kanak-kanak jika tiada niat. Bayangkan jika menyelamat nyawa bawah umur, apakah tidak boleh pegang mereka?
“Oleh demikian, ia bergantung sejauh mana siasatan dibuat. Jika ada unsur gangguan seksual, maka pelaku kena dituduh di mahkamah untuk membuktikan sama ada dia bersalah atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN










