Isu sijil halal: AMK sifatkan Dr. Akmal `lebih sudu daripada kuah’

Isu sijil halal: AMK sifatkan Dr. Muhamad Akmal `lebih sudu daripada kuah’

MUHAMAD AKMAL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sayap Pemuda PKR mengibaratkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh `lebih sudu daripada kuah’ atau ‘berlebih-lebih’, berkait isu pensijilan halal dibangkitkan Ahli Parlimen kontroversi daripada DAP, Teresa Kok.

Hal itu selepas Muhamad Akmal semalam memberitahu beliau sedia ke mahkamah ‘demi mempertahan Islam dan Melayu’ berhubung isu pensijilan halal.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu adalah berlebih-lebih berbanding isu pensijilan halal yang melibatkan isu kepenggunaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebarang ketidaksetujuan pandangan terkait isu pensijilan halal oleh Teresa boleh sahaja dikritik balas oleh sesiapa, namun wajar difokuskan kepada perkara pokok, bukan dilebih-lebihkan menjadi isu bangsa dan agama.

“Tidak wajar buat ahli politik mencucuh api mencetus bahang kemarahan dengan isu kaum dan agama dalam pemikiran masyarakat tatkala bahan bakarnya pun tidak wujud.

“Setiap ahli politik bertanggungjawab mencelikkan masyarakat dengan bertindak balas dengan isu melalui penilaian yang lebih objektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Muhamad Akmal selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin semalam memberitahu tidak gentar memberi keterangan di mahkamah berkaitan isu melibatkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

Katanya, dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan keagamaan adalah persepsi negatif dibangkitkan DAP yang membangkitkan kemarahan orang Islam di negara ini.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung satu laporan polis oleh DAP Sarawak pada 12 September lalu, mengenai dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur keagamaan dan hasutan.

Dr. Muhamad Akmal sebelum ini menggelar Teresa sebagai “nyonya tua” yang tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Islam dan meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk dilekatkan di dahi wanita itu.

Ahli Parlimen Seputeh itu sudah menghantar surat saman kepada Dr, Muhamad Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Teresa sebelum ini dilaporkan menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Dakwanya, cadangan itu bakal membebankan peniaga termasuk orang Islam malah boleh menjejaskan imej Malaysia.

Naib Pengerusi DAP itu memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu pada 10 September lalu, namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini