Industri halal: Malaysia raih pelaburan RM4 bilion dari China

Industri halal: Malaysia raih pelaburan RM4 bilion dari China

Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Malaysia meraih RM4 billion menerusi pelaburan baharu dalam industri halal membabitkan 40 buah syarikat China.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaburan itu meliputi beberapa industri termasuk kecantikan, farmaseutikal, makanan dan minuman (F&B), vaksin serta perubatan berasaskan herba.

“Apa kita perlukan adalah pelabur dari China yang mahu memasarkan barangan halal mereka dari Malaysia. Untuk itu mereka mahu mendirikan kilang dan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan produk dieksport ke negara luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di sini, semalam.

Beliau turut meletakkan tanggungjawab kepada semua kerajaan negeri untuk memudahkan urusan bagi mengadakan tawaran terus kepada syarikat berkaitan.

“Di Malaysia kini, terdapat 14,300 ekar kawasan yang didedikasi untuk industri halal, di mana kawasan paling besar berada di Tanjung Mas, Sarawak iaitu seluas 9,900 ekar.

“Jadi, terdapat beberapa permintaan yang dikemukakan kepada saya, maka kita akan memberikan insentif kepada pelabur untuk mendapat pengecualian cukai serta beberapa kemudahan lain termasuk elektrik dan air,” ujarnya.

Ujar beliau, pelabur-pelabur dari syarikat China turut mencadangkan kerjasama institusi penyelidikan herba mereka bersama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mempromosikan produk berasaskan herba.

Timbalan Perdana Menteri turut berkata, beliau turut menemui Asian Development Investment Bank dari China yang sedia menawarkan pendanaan pelaburan di peringkat awal berjumlah AS$500 juta (RM2.17 bilion).

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir menyertai Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai, dianjurkan Halal Development Corporation (HDC), yang turut dihadiri oleh pemain industri halal dari Malaysia dan China.

Dalam ucaptama pada forum itu, Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan Koridor Perdagangan Halal Malaysia-China, satu inisiatif strategik bagi meningkatkan perdagangan di bawah rangka kerja inisiatif One Belt One Road.

“Ia akan membolehkan kami memenuhi keperluan Halal negara BRICS, ASEAN dan Global Selatan dengan lebih baik, sambil memperkemas perdagangan antara China dan Malaysia untuk rantaian bekalan yang lebih cekap,” katanya.

Menerusi koridor ini juga, Malaysia akan membangunkan lebuh raya perdagangan khusus yang menyediakan Pusat Sehenti Halal Dua Negara (Bi-Nation Halal One-Stop Centres). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN