Hampir semua saksi pendakwaan `tidak boleh diharap’

Hampir semua saksi pendakwaan `tidak boleh diharap’ – Peguam Najib

NAJIB Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhujah bahawa hampir semua saksi utama pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai `tidak boleh diharap’.

Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, saksi-saksi tersebut telah memberi keterangan yang tidak berpihak kepada Najib bagi menyelamatkan tengkuk masing-masing daripada dipertanggungjawabkan atas skandal kewangan terbesar dunia dan dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi-saksi itu ialah bekas pegawai khas bekas Presiden Umno itu, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hujah Wan Azwan Aiman, Amhari dalam keterangannya `mengaku’ menerima `pinjaman’ daripada Jho Low sebanyak AS$200,000 bagi tujuan pembelian rumah namun pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin tidak menyiasat perkara itu.

“Beliau (Nur Aida) tidak meneruskan dengan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan atau motif Amhari. Sebaliknya, beliau menerima keterangan Amhari dan dengan mudah mengalihkan kesalahan kepada Najib, tanpa mempersoalkan kemungkinan sifat mementingkan diri sendiri dalam kenyataan itu,” hujahnya.

Selain itu, peguam terbabit juga mendakwa Nur Aida gagal menyiasat dengan lebih mendalam proses membuat keputusan oleh Shahrol Azral dan tidak melihat kepada kemungkinan senario alternatif di mana Shahrol Azral mungkin bersalah secara bebas dalam kes berkenaan.

Nur Aida juga tidak menyiasat keterangan Hazem yang penuh dengan percanggahan, kekurangan bukti langsung, bergantung kepada dengar cakap dan tindakannya tidak diteliti dengan mendalam untuk menentukan sama ada dia bertindak sendiri atau di bawah pengaruh orang lain.

“Nur Aida juga gagal meneliti kemungkinan Ai Swan yang digelar sebagai orang kanan Jho Low, boleh mendalangi atau memudahkan tindakan tanpa pembabitan langsung Najib,” katanya.

Sementara itu, peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula menghujahkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) sedar mengenai transaksi kontroversi AS$700 juta yang dipindah masuk kepada Good Star Limited iaitu sebuah syarikat samaran yang dikaitkan dengan Jho Low.

Beliau berkata, Najib mempunyai sebab untuk bergantung kepada BNM dan gabenornya ketika itu kerana ia adalah benteng integriti kewangan.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hujahan yang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini