Hamid's Gourmet sasar produk ke pasaran Eropah

Hamid’s Gourmet sasar produk ke pasaran Eropah

FNF Golden Gate Sdn. Bhd. sasar nilai jualan produk daging RM500 juta tahun ini dan mengembangkan pasaran ke Eropah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengimport dan pengedar produk daging tempatan, FNF Golden Gate Sdn. Bhd. menyasarkan nilai jualan RM500 juta tahun ini menerusi pengenalan produk terbaharu daging sedia dimakan.

Produk di bawah jenama Hamid’s Gourmet itu 100 peratus berasaskan daging dan menawarkan enam jenis produk iaitu Wangyu Tomahawk, Smoked Beef, Beef Meatball, Chicken Green Curry, Chicken Meatball dan Beef Kofta.

Pengarahnya, Mujahid Che Hamid berkata, sasaran itu selari dengan langkah strategik syarikat yang kini agresif meneroka pasaran luar negara khususnya di Eropah, selain bersaing di pasaran tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi untuk pasaran tempatan, kita hanya sasar 10 peratus sahaja dan selebihnya kita fokus kepada pasaran eksport.

“Kita dapati negara-negara ini sangat berminat dengan produk daging Malaysia terutama yang mempunyai sijil halal seperti dimiliki produk Hamid’s Gourmet,” katanya ketika ditemui media di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024, Serdang.

Beliau turut memaklumkan Hamid’s Gourmet juga akan menyertai pameran antarabangsa di Paris bulan depan bagi memperkenalkan produk yang ditawarkan dengan lebih dekat.

“Dengan kualiti premium dan cita rasa Malaysia yang ditawarkan, kami yakin produk Hamid’s Gourmet mampu dikenali di pasaran antarabangsa dengan mudah,” katanya.

Ketika ditanya strategi syarikat menumpukan pasaran eksport berbanding tempatan, Mujahid berkata, pihaknya melihat jenama baru mempunyai peluang lebih besar di luar berbanding bersaing dengan jenama tempatan yang telah lama bertapak.

“Di pasaran tempatan, dah ada pemain yang besar, kita tak mahu bersaing dengan mereka sebab itu kita kena keluar (eksport) untuk dapatkan pasaran yang lebih luas,” katanya.

Sementara itu, berkongsi perancangan akan datang, Mujahid berkata selain produk daging sedia dimakan, FNF Golden Gate akan mengeluarkan jenama berasnya sendiri serta produk rempah ratus menjelang tahun ini.

“Kita sasar Disember nanti, produk-produk ini akan berada di pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini