KUALA LUMPUR: Selebriti terkenal, Fazura memohon agar suaminya, pelakon, Fattah Amin ‘melepaskan’ dirinya secara baik.
Perkara itu dinyatakan dalam permohonan yang difailkan oleh Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin, 40, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Jumaat lalu.
Menurut sumber, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atau bercerai secara baik.
Tambahnya, tarikh sebutan bagi permohonan cerai secara baik itu masih belum ditetapkan.
Pada ketika ini juga, tidak dapat dipastikan sama ada Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, telah melantik peguam syarie untuk mewakili dirinya dalam permohonan cerai itu.
Selain itu, sumber turut menyatakan, peguam syarie yang mewakili Fazura kini berada di luar negara dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, status rumah tangga pasangan itu sering menjadi sorotan selepas timbul dakwaan keharmonian mereka diganggu orang ketiga.
Susulan itu, pasangan itu juga sudah lama tidak kelihatan bersama mahupun saling berkongsi foto di mana-mana platform media sosial.
Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 3. – UTUSAN










