Bekas pengasuh taska menangis dipenjara 14 bulan - Utusan Malaysia

Bekas pengasuh taska menangis dipenjara 14 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang bekas pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) dipenjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan dengan keadaan yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal.

Hakim Mazualina Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu ke atas Nor A’in Ismail, 24, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya.

Pada 6 Jun lalu, Nor A’in mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit yang dilakukan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pukul 4.15 petang pada 28 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun pada 2 Julai lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan prosiding jatuh hukum terhadap Nor A’in, kerana dijangka bersalin dalam masa terdekat.

Pihak pembelaan membuat permohonan agar jatuh hukum ditetapkan kepada satu tarikh baharu, iaitu selepas tertuduh bersalin dan berpantang.

Pada prosiding hari ini, selepas menjatuhkan hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Nor A’in juga dikenakan bon berkelakuan baik dengan jaminan RM2,000 tanpa cagaran selama tiga tahun.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan satu perintah tambahan iaitu khidmat masyarakat selama 120 jam selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Bekas pengasuh itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh selepas dijatuhi hukuman tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan mencadangkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. 

“Kes penderaan kanak-kanak semakin menjadi-jadi di negara ini. Dalam kes ini, mangsa adalah kanak-kanak yang tidak mampu berkata apa-apa dan mangsa juga tidak boleh melindungi dirinya sendiri.

“Sekiranya kanak-kanak tersebut adalah anak kita sendiri dan diperlakukan seperti itu di bawah jagaan pengasuh yang diberikan kepercayaan, apa perasaan kita sebagai ibu bapa,” kata Faelly.

Peguambela, S. Priyalatha yang mewakili Nor A’in bagaimanapun memohon hukuman denda yang munasabah dikenakan terhadap anak guamnya kerana wanita itu menghidap penyakit kanser tiriod tahap dua dan anak perempuannya menghidapi masalah jantung berlubang. 

“Pada masa kejadian, tertuduh sedang mengandung tujuh bulan dan mengalami mood swing (perubahan emosi) sehingga kejadian ini berlaku. Tertuduh juga berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan pada masa akan datang,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa telah pergi mengambil anaknya di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Kemudian salah seorang guru taska mengadu anak pengadu tidak suka makan dan memberitahu seorang guru taska  bernama Anne telah memaksa dan menyuap anak pengadu makan dengan secara kasar. 

Pengadu juga dapati terdapat kesan luka kecil pada bahagian luar hidung anak pengadu dipercayai perbuatan guru tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN