Dasar baharu EV pacu pelaburan tempatan, kurangkan kebergantungan import - Utusan Malaysia

Dasar baharu EV pacu pelaburan tempatan, kurangkan kebergantungan import

BARISAN Proton e.MAS 7 pada Majlis pecah tanah kilang kenderaan elektrik (EV) Proton di Proton Tanjung Malim. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan syarat baharu bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) adalah usaha strategik untuk mengubah landskap industri automotif negara daripada sekadar pasaran pengguna kepada hab pembangunan teknologi dan pemasangan tempatan.

Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM), Datuk Dennis Chuah berkata, dasar baharu itu memberi isyarat jelas bahawa Malaysia mahu beralih daripada model “import dan jual” kepada pembangunan ekosistem EV yang lebih menyeluruh, melibatkan pemasangan tempatan (CKD), pembangunan vendor, pekerjaan mahir dan pemindahan teknologi.

“Ketika ini, pasaran Malaysia sudah menawarkan puluhan model EV daripada lebih 15 jenama antarabangsa.

“Namun, persoalan timbul sama ada pasaran domestik yang relatif kecil memerlukan terlalu banyak model CBU tanpa pelaburan industri tempatan yang signifikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, MITI menetapkan syarat baharu bagi EV CBU perlu memenuhi nilai kos, insurans dan tambang (CIF) minimum RM200,000 serta had kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kilowatt (kW) berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Ketetapan itu diperkenalkan susulan tamatnya tempoh pengecualian khas selama empat tahun bagi pengimportan EV di bawah permit kelulusan (AP) Francais pada 31 Disember 2025.

Menurut Dennis, jika pengeluar hanya memberi tumpuan kepada import dan jualan, Malaysia berisiko kekal sebagai pasaran pengguna tanpa pembangunan teknologi tempatan yang mampan.

“Langkah MITI itu dilihat lebih bertujuan menggalakkan pelaburan CKD dan pembangunan industri tempatan berbanding perlindungan pasaran semata-mata.

“Malaysia perlu membina keupayaan sendiri dalam teknologi masa depan seperti bateri, motor elektrik, elektronik kuasa, sistem pengecasan dan perisian EV, selari dengan pendekatan negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun yang membangunkan industri domestik secara agresif,” katanya.

Dengan pengenalan syarat baharu itu, jelasnya, model EV CBU dalam segmen mampu milik dijangka berkurangan selepas 1 Julai 2026 jika pengeluar tidak beralih kepada pemasangan tempatan.

“Bagaimanapun, keadaan itu berpotensi membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan CKD, pembangunan vendor tempatan dan kerjasama teknologi yang mampu menawarkan model EV lebih kompetitif kepada pengguna Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penganalisis automotif, Shamsul Yunos berkata, dasar baharu itu dilihat sebagai strategi untuk memperkukuh pembangunan CKD dan melindungi pelaburan industri automotif negara.

Katanya, syarat baharu itu bertujuan membezakan pasaran antara model EV pemasangan tempatan dan model import sepenuhnya, sekali gus memastikan model CBU hanya tertumpu kepada segmen premium.

“Langkah itu memberi ruang persaingan lebih selesa kepada pemain CKD dalam segmen harga bawah RM250,000, selain menggalakkan syarikat automotif meningkatkan pelaburan tempatan.

“Had minimum kuasa dan harga memastikan model CBU kekal dalam kategori premium. Ini membolehkan pengeluar CKD bersaing dengan lebih stabil tanpa tekanan perang harga daripada model import murah,” katanya.

Beliau berkata, dasar itu secara tidak langsung melindungi pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua, selain jenama antarabangsa yang sudah melabur dalam fasiliti CKD termasuk Chery, Volvo, MG, GWM dan Wuling.

“Model EV CBU sering dijual dengan diskaun agresif sehingga memberi tekanan kepada syarikat yang sudah melabur dalam ekosistem vendor dan pengeluaran tempatan.

“Dengan pelaksanaan syarat baharu, pilihan EV dalam segmen pasaran massa berharga antara RM100,000 hingga RM200,000 dijangka beralih daripada model import kepada model CKD,” ujarnya.

Shamsul menjangkakan variasi model EV import murah mungkin berkurangan, namun hanya jenama yang benar-benar komited melabur dalam pemasangan tempatan akan terus kekal kompetitif di pasaran Malaysia.

“Dalam jangka panjang, pengguna sebenarnya lebih terlindung kerana syarikat yang melabur secara serius di Malaysia biasanya menawarkan sokongan selepas jualan dan pembangunan ekosistem yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN