SHAH ALAM: Syarikat pengeluar bateri kereta, Bateriku.com, meneroka segmen pemasaran bateri motosikal susulan terdapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna kenderaan dua roda itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azarol Faizi Zakaria Ansari, situasi itu mendorong pihaknya menjual bateri motosikal sebagai menyokong inovasi dalam industri inovatif yang dilakukan dengan kerjasama syarikat permotoran, GGR Motor Sdn Bhd (GGR).
“Sebelum ini kita memang dikenali sebagai pengedar dan penjual bateri kereta. Produk baharu bateri motosikal menggunakan minyak petrol ini direka khusus untuk pasaran Malaysia.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan GGR yang terkenal dalam dunia motosikal Malaysia. Jenama yang dikenali GGR By Bateriku.com akan mula dipasarkan bulan depan,” katanya pada sidang penganjuran MotorManiac 2024
Jelasnya, peringkat awal pengedaran pertama, sebanyak 10,000 unit bateri akan dipasarkan dengan harga berpatutan.
Dalam pada itu beliau turut megulas penganjuran MotorManiac 2024 kali ketiga dan menyasarkan penerimaan 40,000 pengunjung sepanjang dua hari program berlangsung bermula Sabtu ini di MyTown Kuala Lumpur .
Selain pertunjukan kereta, segmen seperti hiburan, pertandingan automotif unik seperti 2-Step, Limbo dan ‘Fire Competitions’ turut diadakan. – UTUSAN











