Apa perlu dibuat ketika sambut Maulidur Rasul?

Apa perlu dibuat ketika sambut Maulidur Rasul?

Aspek kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah suatu aspek penting dalam kehidupan seorang muslim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasulullah SAW merupakan Rasul yang diutuskan kepada seluruh alam. Ketokohan dan kepimpinan Baginda dalam menyampaikan risalah Islam menjadi asbab mengapa kita sebagai umat

Baginda wajib untuk mencintai Baginda melebihi makhluk yang lain.

Oleh yang demikian, kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah suatu aspek yang amat penting dalam kehidupan seorang Muslim yang beriman kepada Rasulullah SAW.

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW bukan hanya sekadar dari jiwa perasaan, namun ia harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan amalan yang konsisten.

Bukti kecintaan ini dapat dilihat melalui pelbagai aspek kehidupan seorang Muslim termasuk dalam ibadah, akhlak, dan hubungan sosial. Disebut dalam kitab Al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh

Sofiyurrahman la-Mubarakfuri “ Penghuni para Rasul ini dilahirkan di tengah-tengah keluarga Bani Hasyim di Mekah pada Subuh Isnin tanggal 9 Rabiulawal tahun pertama setelah serangan pasukan gajah ”. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh kelahiran Baginda, namun ia tidak menghilang atau menghalang umat Baginda untuk mencintai Rasulullah SAW.

Menjelang bulan Rabiulawal menjadi sinonim dalam masyarakat dalam memperingati kelahiran junjungan Nabi SAW kita. Sewajarnya kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai mentor utama dalam kehidupan.

Seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 “ Sungguh, pada diri Rasulullah SAW benar-benar ada suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah SWT dan kedatangan hari Kiamat serta yang banyak mengingat Allah SWT”.

Meneladani Akhlak Mulia Rasulullah SAW

Salah satu cara dan bukti utama bagi mengerakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah mencontohi akhlak dan perilaku Baginda. Rasulullah SAW diutus sebagai model kepimpinan yang membawa kebaikan kepada umat manusia. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya “Sesungguhnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Oleh itu, kecintaan kepada Rasulullah SAW tercermin dalam usaha kita untuk menjadikan akhlak Baginda yang penuh dengan kesabaran, kejujuran, dan kasih sayang serta akhlak mahmudah sebagai panduan kehidupan.

Mempraktikkan Sunnah Nabi

Sunnah Rasulullah SAW menjadi panduan utama kepada umat Islam. Berusaha mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW adalah cara untuk membuktikan kecintaan kita kepada Baginda.

Sunnah merangkumi ajaran dan amalan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW daripada perbuatan dan percakapan Baginda. Melalui pengamalan Sunnah dalam kehidupan, umat Islam tidak hanya mengikuti perintah Allah SWT tetapi juga menghargai warisan dan akhlak mulia yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, solat sunat, membaca al-Quran puasa pada hari Isnin dan Khamis serta membaca selawat serta zikir adalah beberapa amalan sunnah yang dapat memperkukuh kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya “Sesiapa yang menghidupkan satu sunnah yang baik dalam Islam, dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengamalkannya tanpa mengurangkan sedikitpun daripada pahala mereka.” (Hadis riwayat Muslim).

Ini menunjukkan bahawa mengamalkan sunnah akan menatijahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Melazimi Selawat

Selawat kepada Rasulullah SAW merupakan satu bentuk penghormatan dan pengiktirafan terhadap kedudukan baginda. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim). Dengan memperbanyakkan selawat, bukan sahaja bukti kecintaan kita tetapi juga memperoleh ganjaran pahala dan keberkatan dari Allah SWT. Hadis ini menggambarkan betapa besar ganjaran bagi mereka yang melazimi lidah berselawat kepada Baginda sebagai tanda kecintaan dan penghormatan hakiki.

Mendasari Ajaran Al-Quran dan Hadis dalam Kehidupan

Baginda Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya “Sesiapa yang mengikuti aku, maka dia akan mendapatkan hidayah. Sesiapa yang berpaling daripada ajaranku, maka dia adalah seorang yang zalim.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa mengikuti ajaran Baginda adalah salah satu bukti kecintaan hamba kepada Baginda. Keikhlasan dalam kecintaan kepada Rasulullah SAW juga dapat dibuktikan dengan mengikuti ajaran Al-Quran dan hadis yang Baginda sampaikan.

Al-Quran merupakan wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW, dan hadis adalah penjelasan dan tafsiran daripada Baginda dalam setiap aspek kehidupan insan. Mempelajari, mengamal dan menghayati kedua-dua sumber utama bermakna kita telah mengikuti jalan yang telah dibimbing oleh Rasulullah SAW.

Ini menunjukkan bahawa kita menghargai dan mencintai ajaran yang dibawa oleh Baginda.

Menyampaikan Risalah Islam Baginda kepada Masyarakat

Apabila kita mencintai seseorang, maka kita berusaha untuk mengikuti segala nasihat, bimbingan dan panduan daripada mereka yang kita cintai. Begitu juga dalam membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW kita berusaha untuk menyebarkan risalah Islam kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim. Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW menganjurkan umat Baginda untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain.

Salah satu hadis yang terkenal dengan mafhumnya “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis riwayat Bukhari). Dengan menyebarkan ajaran Islam tidak hanya menunjukkan kecintaan kita tetapi juga menyambung usaha dakwah Baginda dalam memberi kebenaran Islam kepada masyarakat. Hadis ini menunjukkan pentingnya menyebarkan ajaran Islam sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW dan usaha untuk menyebarkan lebih luas risalah yang beliau bawa.

Kesetiaan dalam Kecintaan Terhadap Rasulullah SAW

Adatnya bila sudah cinta maka akan datang setia dalam mempertahankan cinta dan kasih sayang sesama insan.

Apatah lagi dengan junjungan Kekasih Allah SWT. Setia dalam kasih kepada insan mulia lagi maksum ini akan menatijah kesempurnaan iman dan amal dalam kehidupan.

Dalam proses menjaga dan mempertahankan kesetiaan kecintaan terhadap Rasulullah SAW juga merupakan satu bukti yang penting bahawa kita sebagai umat Baginda yang mengharapkan syafaat Baginda.

Kesetiaan dalam mempertahankan kecintaan kepada Baginda termasuklah menolak sebarang bentuk penghinaan atau penyelewengan terhadap Sunnah Baginda.

Sebagai Mukmin kita digalakkan untuk mempertahankan maruah Rasulullah SAW dengan cara yang baik, termasuk dalam perdebatan awam atau perbincangan ilmiah tanpa memperlekehkan Sunnah-Sunnah Baginda.

Rasulullah SAW bersabda dengan mafhumnya “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan seluruh manusia.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Jelaslah bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW harus melebihi kecintaan kita terhadap segala sesuatu di dunia ini. Tambahan Rasulullah SAW bersabda lagi dalam mafhumnya dalam Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim “Sesiapa yang tidak mematuhi perintahku, maka dia tidak termasuk golonganku.

Amalan-amalan Sunnah yang digalakkan untuk umat Islam seperti solat-solat sunat, berpuasa sunat, zikir dan selawat, membaca al-Quran, bersedekah dan menjalinkan hubungan silaturrahim dan hubungan baik dengan Allah SWT.

Amalan-amalan ini bukan hanya menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW tetapi juga memperkukuh hubungan kita dengan Allah SWT selain meningkatkan kualiti kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN