24 pemimpin GISBH ditahan

24 pemimpin GISBH ditahan

Nasiruddin Mohd. Ali
Pemimpin Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang ditahan di bawah SOSMA bersama 15 lagi anggota kumpulan ajaran sesat itu (gambar fail) – UTUSAN AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menggempur orga­nisasi Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dengan memberkas 24 pemimpin termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak.

Penahanan Nasiruddin bersama 18 individu lagi dibuat dalam serbuan di empat unit kediaman di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pagi semalam selepas disyaki melarikan diri dari pusat perniagaan di mereka yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini.

Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan dia bersama isteri dan dua anak serta ahli GISB terlibat menyewa di unit kediaman itu bagi menyembunyikan diri.

Selain di Kuala Lumpur, lima individu termasuk dua anak pemimpin berkenaan turut ditahan di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Mereka ditahan selepas Unit Risikan Sempadan Zon Utara mengesan dua kenderaan mempunyai lambang GISBH bergerak ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.

Jumlah ini menjadikan sebanyak 24 individu termasuk pemimpin tertinggi GISBH ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan eksploitasi kanak-kanak membabitkan rumah amal dikaitkan dengan syarikat tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan kesemua suspek termasuk CEO berusia 65 tahun itu dilakukan selepas empat unit kediaman tempat mereka tinggal diserbu polis pada pukul 5.40 pagi semalam.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil koordinasi operasi bersama Bahagian Operasi Khas (D8) Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Pemeriksaan serentak dilakukan terhadap kesemua unit kediaman berkenaan sebelum polis menahan 19 individu terdiri 12 lelaki dan wanita (tujuh orang).

“Daripada jumlah ditahan, seramai 11 orang daripada mereka adalah individu yang berada dalam senarai sasaran polis,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

”Semakan lanjut terhadap kesemua suspek bagaimanapun tiada rekod jenayah dan soal siasat awal serta proses dokumentasi masih dijalankan,” katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain dalam masa terdekat namun perkara itu masih dalam siasatan.

Terdahulu, perintah tahanan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap lima individu termasuk anak ke­pada pe­mimpin GISBH pagi semalam.

Ia diikuti perintah tahanan reman seminggu terhadap 19 lagi individu termasuk pengerusi syarikat, isteri dan seorang dipercayai anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad di mahkamah sa­ma di sebelah petang.

Hasil penahanan di Bukit Kayu Hitam, polis merampas kenderaan yang digunakan lima individu untuk ke Thailand.

Pada 17 September lalu, siasatan polis terhadap GISBH berkait ekploitasi kanak-kanak dilaporkan mungkin mula men­jurus kepada kegiatan jenayah terancang.

Ini selepas siasatan polis mendapati terdapat struktur organisasi yang jelas dalam pengoperasian rumah amal terbabit.

Polis juga sudah mengeluarkan perintah larangan me­ninggalkan negara terhadap mereka sebaik kertas siasatan dibuka.

Untuk rekod, seramai 149 orang kanak-kanak berusia satu tahun hingga 10 tahun diberikan perintah jagaan sementara yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

Mangsa-mangsa ini telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan manakala baki 243 kanak-kanak masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.

Selain itu, sebanyak 96 akaun melibatkan GISBH bernilai RM581,552.31 dibekukan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2021 selain empat akaun ditutup. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN