PETALING JAYA: Meta Platforms Inc. (Meta) diberi peringatan tegas supaya tidak menjadi bacul dan perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel selepas sekali lagi menurunkan hantaran media sosial berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh.
Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak masuk akal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyedia platform media sosial itu biadab dan menghina rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video dan ucapan takziah serta kritikan terhadap pejuang tersebut.
“Meta sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Allahyarham Ismail Haniyeh.
“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel,” katanya semalam.

ANWAR Ibrahim berkongsi tindakan Meta yang menurunkan video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Allahyarham Ismail Haniyeh.
Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut penjelasan dan permohonan maaf Meta kerana menurunkan hantaran bergambar pertemuan Anwar dengan Allahyarham Ismail di Doha, Qatar, yang dimuat naik dalam laman Instagram.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri berkata, pihaknya mengecam tindakan diambil oleh Meta terhadap hantaran menerusi akaun Perdana Menteri.
Pada 14 Mei lalu, Anwar yang dalam rangka kerja di Doha, Qatar sempat meluangkan masa untuk bertemu Ismail dan Khaled Marshal.
Dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang dibom rejim Zionis.
Bagaimanapun, kelmarin, Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan yang dilakukan ke atas kediamannya di Teheran, Iran.
Beliau berada di Teheran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menuntut penjelasan daripada Meta berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan pembunuhan Ismail terutama akaun media sosial rasmi Perdana Menteri.
Katanya, kerajaan kesal dengan tindakan tersebut yang hanya menyasarkan akaun rasmi termasuk beberapa pemimpin lain di negara ini.
“Saya telah meminta supaya penjelasan diperoleh daripada Meta mengapa hanya hantaran atau kandungan dimuat naik di akaun rasmi Perdana Menteri yang disasar.
“Waktu ini ada beberapa kemungkinan sama ada ia diturunkan pihak Meta sendiri secara automatik atau yang diterima daripada aduan orang ramai. Waktu ini kita belum dapat penjelasan yang penuh dan kita sedang nantikan daripada pihak Meta,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca Kabinet, semalam.
Menurut Fahmi, selain hantaran Perdana Menteri, hantaran sama di sebuah agensi media tempatan turut dimuat turun oleh Meta.
Beliau juga meminta mana-mana organisasi media untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya dikenakan tindakan serupa supaya usaha mengembalikan hantaran berkenaan dilakukan.
“Saya tegaskan di sini, semua platform media sosial mempunyai tatacara, garis panduan komuniti atau garis panduan standard masing-masing. Mereka mungkin melakukan sesuatu tindakan penurunan dan sekatan atau sebagainya berdasarkan garis panduan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedih dan marah atas pembunuhan Ismail mengecam Israel dan penyokongnya sebagai hipokrit serta pengganas sebenar.
Beliau berkata, media Barat dan beberapa pemimpin mereka juga terus-menerus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, sedangkan mereka berjuang menentang Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan peneroka haram Yahudi yang selama beberapa dekad melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
“Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan Barat dan pihak sejenisnya memang memualkan.
“Saya benar-benar sedih dan marah kerana Ismail, seorang lelaki yang baik dan berani yang menghabiskan seluruh usia dewasanya berjuang untuk pembebasan Palestin telah dibunuh.
“Saya marah kerana dunia Barat, yang boleh membuat perubahan namun memilih untuk berdiam diri dan sebaliknya memihak kepada Israel dalam melakukan tindakan keganasan mereka dan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










