UMNO perlu aplikasi strategi baharu, terkini - Ketua Puteri UMNO

UMNO perlu aplikasi strategi baharu, terkini – Ketua Puteri UMNO

NURUL AMAL MOHD. FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu mempunyai strategi untuk mengembalikan asas penubuhan parti selaras dengan perlembagaannya.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, UMNO sudah melalui pelbagai zaman yang penuh cabaran dan tidak boleh selesa kerana masih terdapat kelemahan parti yang perlu diperbaiki.

“Sudah berapa lama kita bercakap tentang pembaharuan UMNO? Isu ini dilaung dan diulang setiap kali kita berhimpun. Adakah kita telah berjaya mencapainya? Adakah kita sudah diperbaharui? Adakah kita masih mengkaji? Atau sekadar melantun retorik dan janji? 

“Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti. Perjuangan yang kita bawa dalam landskap politik kontemporari ini perlu selari dengan identiti parti namun adakah kita masih memahami identiti parti kita hari ini? 

“Kita perlu ada strategi dan pemahaman identiti yang selaras dengan perlembagaan UMNO. Bersama sama UMNO kita tumbuh, dalam rumah ini kita berteduh. Bertatih berlari bangun dan jatuh. Bersama keluarga ini kita membesar dan tumbuh,” katanya pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Tambah Nurul Amal, meskipun UMNO pernah berdiri megah suatu ketika dahulu, namun parti itu tetap perlu berwaspada melalui pelaksanaan yang berkesan.

“Rumah ini pernah berdiri megah, dipandang tinggi dan gagah. Namun seiring usia, kita lupa bahawa rumah kita ini masih perlu diselenggara. Rumah ini bertahan dalam cuaca berbeza, hujan, panas, dan kadangkala ribut melanda. Ada atap yang terbuka, ada dinding yang merekah, ada cat yang pudar warnanya, dan ada serangga perosak di sekitar rumah.

“Semua ini perlu kita beri perhatian, dan perbaiki dari semasa ke semasa, agar rumah kita terus kukuh dan tidak roboh menyembah bumi. Rumah ini, perlu kita jaga.

“Telah banyak yang kita bahas dan bincang. Namun, tanpa sebarang pelaksanaan, kata-kata kita tak akan memberi makna, dan UMNO akan terus dibuai mimpi dan terhambat dengan realiti yang memakan diri. UMNO perlu mengaplikasi strategi baru dan terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN