KUALA LUMPUR: Seperti menjolok sarang tebuan, tindakan peguam yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berulang kali bertanyakan soalan berhubung keturunan dan susur galur keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyebabkan bekas Perdana Menteri itu mengemukakan ‘cabaran’.
“Anda asyik persoalkan keturunan saya tetapi kes yang saya failkan adalah sama ada Ahmad Zahid berbohong atau tidak dan sama ada kenyataan beliau itu adalah fitnah.
“Buktikan saya bukan Mahathir bin Mohamad. Itu caranya, bukan dengan mempersoalkan perkara lain. Saya tidak mengambil tindakan (undang-undang) terhadap orang lain, tetapi apa yang dia (Ahmad Zahid) katakan. Buktikan, tunjukkan IC (kad pengenalan), pada saya (soalan lain) tidak relevan. Saya tidak akan jawab,” tegas bekas Presiden Umno itu.
Keadaan itu menyebabkan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Tenchiong mencelah bagi meredakan keadaan dengan menyatakan soalan-soalan peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berhak bertanya sebarang soalan termasuk bahan-bahan penulisan sebelum Julai 2017 (tarikh saman difailkan) yang turut menyentuh isu sama.
Techiong: Dengan hormatnya Tun sebelum Julai 2017 iaitu tarikh kes saman ini difailkan, ada artikel sebelum itu yang menyatakan nama anda Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Mereka (peguam) berhak untuk tanya. Mereka cuba menunjukkan defendan (Ahmad Zahid) bukan pihak pertama menimbulkan persoalan ini.
Dr. Mahathir: Banyak artikel yang ditulis adalah tidak benar. Mereka menekankan nama datuk saya ialah Kutty. Saya sudah jawab perkara itu.
Techiong: Ini adalah sistem adversari, ia berfungsi begitu. Anda di sini sebagai saksi dan peguam defendan berhak bertanyakan soalan balas, prosesnya ialah selepas ini ada pemeriksaan balas oleh peguam anda bagi penjelasan.
Dr Mahathir: Saya akan jawab tetapi mereka asyik tanya soalan sama.
Pesuruhjaya Kehakiman itu kemudian menjelaskan bahawa Dr. Mahathir mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan pada peringkat pemeriksaan semula oleh peguamnya dan memohonnya untuk memberikan kerjasama kepada peguam defendan (Ahmad Zahid).
“Tetapi ia (soalan) tidak relevan,” ujar Dr. Mahathir.
Pada prosiding sebelah pagi, Mohamed Shahrul berulang kali bertanyakan mengenai asal usul keluarga Dr. Mahathir yang mana moyang atau datuk kepada bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berasal dari Kerala, India yang berhijrah ke negara ini.
Dr. Mahathir mengesahkan perkara tersebut namun menyatakan bapanya, Mohamad bin Iskandar merupakan rakyat Malaysia kerana beliau dilahirkan dan didaftarkan kelahirannya di negara ini sebagai Melayu.
Dr. Mahathir juga menafikan cadangan bahawa beliau mengisi borang pendaftarannya di universiti perubatan di Singapura sebagai `India Muslim’.
Mohamed Shahrul turut bertanya mengenai adik beradik Dr. Mahathir antaranya Mahadi Mohamad Iskandar yang `bin’ beliau berbeza dengan individu yang turut dikenali sebagai Che Det itu.
“Mahadi Mohamad atau Mahadi Mohamad Iskandar. Ada yang kenal dia sebagai Mahadi Mohamad, ada yang kenal dia sebagai Mahadi Mohamad Iskandar. Tidak pernah dikenali sebagai Mahadi Mohamad Iskandar Kutty,” jawab Dr. Mahathir.
Disoal siapa dalam kalangan adik beradiknya yang masih hidup, Dr. Mahathir dengan santai menyatakan:”Sayalah. Saya yang masih hidup.”
Jawapan yang mencetus ketawa kecil itu turut menyebabkan Tenchiong menyatakan:”Kalau adik beradiknya masih hidup, tentu umur mereka lebih 100 tahun.”
Perbicaraan bersambung 14 Oktober ini.- UTUSAN










