DUNGUN: Sebanyak dua projek tebatan banjir dan satu projek pemuliharaan muara sungai bernilai keseluruhan RM141.27 juta yang telah disiapkan kerajaan Persekutuan diserahkan kepada kerajaan Terengganu, hari ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, tiga projek tersebut melibatkan projek tebatan banjir Guntung Luar, Setiu yang bernilai RM3.22 juta dan projek tebatan banjir Gong Kiat, Kuala Terengganu (RM5.8 juta)
Menurutnya, sebuah lagi adalah projek pemulihan muara Sungai Paka, di sini, yang berharga RM132.25 juta.
Katanya, projek tersebut dibangunkan Petra melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 2019 dan 2020 itu telah siap tahun 2022 dan tahun ini.
“Hasil pembinaan projek tebatan banjir di Guntung Luar dan tebaran banjir Gong Kiat, seramai hampir 3,500 orang penduduk kawasan tersebut mendapat perlindungan daripada musibah banjir.
“Alhamdulillah sehingga kini telah terbukti tiada rekod kejadian banjir dilaporkan sejak projek siap pada tahun 2022.
“Satu lagi penyiapan dan penyerahan projek yang sangat signifikan kepada penduduk di sekitar Pantai Dungun dan Paka adalah projek pemuliharaan muara Sungai Paka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Paka, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah menyerahkan tiga projek tersebut kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Mohd. Zawawi Ismail.
Sementara itu, Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion untuk melaksanakan 23 projek baharu melibatkan skop berkaitan tebatan banjir, pemuliharaan hakisan pantai dan tebing sungai serta sistem saliran di Terengganu.
Menurutnya, antara projek yang bakal dibangunkan pembinaan sebuah empangan sabo berharga RM30 juta di Hulu Terengganu pada tahun depan.
“Walaupun di Hulu Terengganu tiada pantai tetapi terdapat ancaman banjir piung, maka sebab itu Petra telah meluluskan pembinaan empangan sabo, tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN










