KOTA KINABALU: Tiga pegawai penguat kuasa ditahan reman selama lima hari sehingga 16 Ogos ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan kira-kira pukul 4 petang hingga 11 malam tadi dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Sabah di Pekan Keningau.
“Tangkapan terbaharu yang melibatkan dua lagi pegawai penguat kuasa adalah susulan daripada tangkapan seorang pegawai penguat kuasa sebelum ini.
“Kesemua suspek ditahan kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










