PONTIAN: “Saya bersyukur, sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam kor Rejimen Renjer Diraja (RRD), Allah masih panjangkan umur walaupun peluru bertaburan di atas kepala ketika bertempur dengan pengganas komunis.”
Itu pengalaman Staf Sarjan (B) Mohd. Hilman Selamat yang terlibat dalam tiga pertempuran dengan komunis, dua kali di Kedah dan satu di Jerantut Pahang.
Sebagai kor kedua yang terbesar dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), anggota RRD mempunyai tugas yang sama dalam memerangi pengganas komunis dan dalam setahun biasanya mereka akan berada di dalam hutan selama 10 bulan.
“Pertempuran pertama pada tahun 1975 di Sungai Kawi Kedah apabila saya dan enam anggota serta seorang pegawai sedang melakukan rondaan, kami terserempak dengan pengganas komunis.
Ketika itu kami menanda tempat untuk helikopter menurunkan bekalan makanan dan menemui pengganas komunis yang sedang bergerak di sebatang anak sungai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Tanjung Air Hitam, di sini.
Mohd. Hilman berkata, tembakan pihaknya dibalas oleh pengganas komunis yang dianggarkan antara 30 hingga 35 orang.
“Pengganas komunis turut menggunakan senjata, Launcher M79 sebanyak lima unit bagi menyerang kami yang terpaksa mencari perlindungan di sebalik pokok-pokok besar. Namun, tiada kehilangan nyawa sama ada di pihak tentera atau komunis, hanya seorang anggota kami mengalami kecederaan pada lengan kanan akibat terkena serpihan peluru,” katanya.
Pertempuran kedua di Tanjung Pari, Baling pada 1976 dengan komunis dan 30 anggota RRD yang melakukan rondaan dan pihaknya berjaya membunuh seorang pengganas komunis dengan mayatnya dibawa lari sebelum dikebumikan tidak jauh dari lokasi pertempuran.
“Pengganas komunis ketika itu dipimpin oleh seorang Melayu dan kami berbalas tembakan sebelum mereka melarikan diri ke dalam hutan setelah melihat kekuatan anggota RRD,” katanya.
Pertempuran ketiga pula di Jerantut, Pahang juga pada 1976 dengan anggota RRD seramai 10 orang dengan salah seorang anggotanya hancur kakinya terkena jerangkap samar.
Selepas kejadian itu, dia telah dipindahkan ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor pada 1 Januari 1984 dan pernah melatih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika bergelar Tunku Mahkota Johor.
Bersara pada usia 39 tahun, Mohd. Hilman berterima kasih kepada isterinya, Rosnah Talib yang memahami tugasnya yang hanya dapat bersama selama dua bulan ketika tidak menyertai operasi di kawasan perbatasan.
“Alhamdulillah, kami dikurniakan tujuh cahaya mata, empat lelaki dan tiga perempuan, dengan hanya seorang mengikuti jejak saya sebagai anggota tentera,” katanya yang mengusahakan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Air Hitam selama enam tahun selepas bersara sebelum melakukan kerja-kerja lain termasuk menjadi pengadil bola sepak. – UTUSAN










