PETALING JAYA: Malaysia dan India memperuntukkan tempoh masa selama tiga bulan untuk menjayakan kerjasama strategik melibatkan pelbagai bidang yang dimeterai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin negara tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara itu bersetuju untuk meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pada masa sama, beliau berkata, hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang perlu terus diperkukuhkan.
“Malaysia dan India dari zaman Jawaharlal Nehru dan Tunku Abdul Rahman sudah menjalinkan hubungan baik.
“Namun, kita sedar (hubungan) di bawah generasi kita ini mesti diperkukuhkan lagi dalam pelbagai bidang yang meliputi digital, pelaburan, perdagangan, pembinaan, pertanian dan pendidikan.
“Itu termasuk kerjasama ketenteraan dari segi operasi bersama untuk melindungi sempadan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi di Hyderabad House di New Delhi, semalam.
Terdahulu, Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan India bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.
Memorandum itu merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya berkaitan pengambilan pekerja asing, sektor belia dan sukan, perubatan tradisional ayurveda dan teknologi digital.
Selain itu, kerjasama sektor kebudayaan, pelancongan serta pentadbiran awam dan reformasi tadbir urus.
Antara kementerian terlibat meliputi Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Luar; Kementerian Digital; Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Kesenian serta Jabatan Pentadbiran Awam (JPA).
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan India mempunyai pelbagai lapangan lain untuk diteroka selain sektor perdagangan dan pelaburan.
Katanya, ini kerana kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan yang menjangkau terutama berkaitan kerancakan kebudayaan yang penting.
“Selain itu, kami telah banyak memulakan program baharu dan kami berharap syarikat India dan Malaysia bekerjasama lebih jauh dalam semua bidang termasuk sektor baharu yang lebih mencabar seperti peralihan tenaga, pendigitalan dan keselamatan makanan.
“Kami telah menekankan keperluan untuk menggunakan pengalaman dan kepakaran kami dalam sektor semikonduktor untuk untuk menjadi hab di Asia Tenggara.
“Oleh itu, kami telah meletakkan tempoh masa tiga bulan untuk kakitangan kami bertindak dan melaporkan kepada kami tentang kemajuannya,” katanya.
Perdagangan dua hala antara India dan Malaysia bernilai lebih AS$20 bilion (RM88 bilion) pada 2023 hingga 2024 dan dijangka mencecah AS$30 bilion (RM131.3 bilion) menjelang 2025. – UTUSAN









