KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) perlu membalas kembali budi UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, sebelum ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kali ini giliran Amanah pula perlu menunjukkan sokongan sebagai tanda keikhlasan dalam Kerajaan Perpaduan dengan tidak mensabotaj calon yang sepatutnya datang daripada UMNO dan BN dalam PRK DUN Mahkota.
“Apa lagi yang Amanah tak puas hati? Kita tidak langsung persoal Amanah bertanding walaupun kedua-dua calon di Pulai dan Simpang Jeram itu bukan calon pilihan kita. Kita tetap bagi sokongan dan kita ‘sedekahkan’ pengundi Melayu kepada Amanah.
“Kalau bukan sebab UMNO, Amanah pun tidak akan menang kerana mereka ini parti Melayu tetapi mengharapkan undi bukan Melayu, jadi mana maruah Amanah? UMNO ini kekuatannya adalah parti orang Melayu, walaupun ada orang Melayu yang tidak lagi menyokong UMNO tetapi kita masih ada base.
“Apa base Amanah? Jadi jangan mula sakitkan hati orang UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, prinsip parti penyandang tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor berikutan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu dianggap pembangkang.
Katanya, ia terbukti apabila tidak ada seorang pun Exco Johor dilantik dalam kalangan pemimpin PH dengan kesemua 11 Exco daripada UMNO dan BN.
Malah, sebelum ini juga Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Rawa berkata, permintaan Pemuda Amanah untuk parti itu diberi laluan bagi menandingi kerusi DUN Mahkota adalah disebabkan semangat Kerajaan Perpaduaan tidak dirasai di Johor.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai turut menegaskan Amanah tidak sepatutnya merebut kerusi dengan UMNO susulan kekuatannya adalah pengundi bukan Melayu.
“PRK Simpang Jeram dan Pulai, kita serahkan kepada Amanah, kita tak bising pun sebab kita tahu itu kerusi Amanah. Sekarang Amanah sibuk nak rebut kerusi UMNO/BN kenapa?,” soalnya. – UTUSAN










