KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada perancangan untuk membawa masuk lagi rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk mendapatkan rawatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, fokus sekarang adalah merawat rakyat Palestin terbabit sehingga sihat serta sembuh sebelum dihantar pulang semula ke sana.
“Setakat ini tidak ada perkembangan sebab perkara pertama kita (mahu buat adalah) berubat, apabila sudah baik dan keadaan bertambah baik akan dihantar balik.
“Kemudian kita berunding dengan Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan Qatar. Jadi, kita tengok (dahulu), kalau ada keperluan kita boleh bincang. Setakat ini kita nak rawat untuk bagi mereka sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin (MM4AP) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan komited untuk terus memperjuangkan nasib dan isu kemanusiaan melibatkan pelbagai kaum serta agama bagi memastikan tiada siapa akan tertindas.
Menurutnya, kerajaan tidak hanya prihatin terhadap nasib yang ditimpa oleh rakyat Palestin.
“Apakah dia itu anak Cina yang dipukul atau orang Melayu yang sengsara ataupun ibu India yang jatuh lubang beberapa hari lalu, itu semua menyentuh hati nurani dan perasaan. Kita cuba (untuk) selesaikan.
“Ke mana kemanusiaan ini? Sehinggakan sentimen kaum atau wilayah menyebabkan sikap (biadab), orang seperti ini tidak layak menjadi seorang rakyat yang faham (tentang isu kemanusiaan ini),” katanya.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan seorang aktivis dari Sarawak yang melarang beliau untuk menjejak kaki ke Bumi Kenyalang hanya kerana kerajaan membawa 41 rakyat Palestin yang cedera akibat kezaliman rejim Israel ke negara ini untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Antara perkara yang dibangkitkan oleh aktivis berkenaan adalah mengenai dana awam yang didakwanya dibazirkan kerana digunakan untuk membawa rakyat Palestin.
Perdana Menteri berkata, pandangan daripada aktivis tersebut merupakan satu perkara yang amat biadab kerana menggambarkan individu itu tidak memahami erti kemanusiaan.
Jelasnya, suara ‘kerdil’ tersebut tidak boleh dibiarkan berterusan berbunyi kerana dibimbangi akan membiak.
“Apa sahaja fahaman (yang) melampau, jangan kita biarkan kerana bibit itu jika diizinkan akan menjadi parah.
“Setiap rakyat Malaysia yang sedang sengsara sama ada muslim, kristian, hindu maupun buddha, sama ada dari Sarawak atau Perlis, ia merupakan kebimbangan saya sebagai seorang manusia,” katanya. – UTUSAN










