KUALA LUMPUR: Tiada mesyuarat akan dibuat dalam masa terdekat bagi menentukan ‘hayat’ kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) susulan ‘pergeseran’ antara Pas dan Gerakan.
Ini berikutan Gerakan sebelum ini dilaporkan senada dengan DAP supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.
Pendirian Gerakan itu menyebabkan pemimpin Pas secara terbuka menyatakan kekecewaan mereka.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, percanggahan pendapat tentang perkara itu tidak dianggap serius hingga memerlukan perbincangan khusus bagi menyelesaikannya.
“Saya tidak rasa ia satu masalah besar yang perlu diselesaikan sehingga Bersatu perlu bertindak menjadi pendamai antara mereka. Percanggahan pendapat itu adalah kenyataan peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti pun.
“Itu biasalah, dalam Kerajaan Perpaduan pun ada perkara-perkara sebegini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini bukan sahaja sumbangan daripada peniaga kecil dan penjaja, bahkan pihak luar termasuk syarikat-syarikat besar.
Dominic mendakwa, sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan Pusat untuk beroperasi.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kecewa dengan kenyataan Dominic sekali gus tidak menolak kemungkinan tiada kerjasama dengan parti komponen tersebut dalam PN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas lanjut, Razali berkata, masalah tersebut sebenarnya tidak mendesak mana-mana pihak dalam PN untuk menyelesaikan secepat mungkin termasuk Dominic sendiri. – UTUSAN










