Pengundi Melayu bukan lagi deposit tetap PN

Pengundi Melayu bukan lagi deposit tetap PN

Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lagi menganggap kawasan majoriti Melayu boleh memberi kelebihan undi kepada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kekalahan berturut-turut Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Sabtu lalu adalah petanda kegagalan gabungan tersebut memenangi hati rakyat khusus­nya pengundi Melayu.

Justeru, PN perlu segera mengambil iktibar kekalahan tersebut dengan tidak terlalu bermain sentimen sebaliknya menawarkan sesuatu yang terbaik bagi meyakini rakyat untuk terus memilih gabungan itu.

Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, sentimen bahawa Melayu Islam harus mengundi PN sudah tidak menjadi apabila UMNO terus mendapat penerimaan pengundi Melayu.

Katanya, PN sudah tidak bo­leh menjadikan undi Melayu sebagai deposit tetap mereka memandang­kan tahap sokongan kaum berkenaan sudah semakin merosot.

“Situasi PN pada pilihan raya 2022 bukan bersifat mutlak ke­rana sokongan dan dapatan undi pada ketika itu adalah disebabkan keadaan pada masa itu yang menunjukkan protes kepada UMNO dan Pakatan Harapan (PH). PN juga tidak boleh menganggap undi Melayu selamanya kukuh bersama mereka.

“PN seharusnya mula menyusun langkah sebagai bayang kepada PH dengan menawarkan alternatif bukan sekadar membangkang semata-mata,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 selepas calonnya, Dr. Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059) manakala calon PSM, Bawani KS 1,106 undi.

Muhammad Izmer berkata, malah PN gagal menunjukan alternatif atas polisi kerajaan yang dianggap membebankan rakyat seperti rasionalisasi diesel dan sebagainya.

“Kestabilan dan ekonomi yang mengukuh oleh polisi Madani juga dilihat antara faktor Kerajaan Perpaduan semakin diterima. UMNO pula dilihat lebih cakna dalam isu Melayu Islam sekali gus sedikit sebanyak telah mengembalikan sokongan Me­layu kepada parti itu,” katanya.

Katanya, PN tidak boleh kekal pada permainan sentimen yang sudah pastinya boleh menghumban mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN