Sokongan terhadap PN merosot 15 peratus - Penganalisis

Sokongan terhadap PN merosot 15 peratus – Penganalisis

REPLIKA meriam Perikatan Nasional kelihatan gah di kawasan Flat Pantai Bersih di Bagan Ajam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Undi atau sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dijangka menyusut 10 sehingga 15 peratus sekali gus memberi cabaran getir kepada gabungan berkenaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ia melihat kepada trend beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini yang menyaksikan PN kalah secara berturut-turut, selain turut memberi gambaran bahawa sokongan orang Melayu juga menunjukkan penurunan.

Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, prestasi terbaik PN sebagai kuasa politik yang kuat dilihat bermula pasca ‘Langkah Sheraton’ sehingga 2023 dengan berjaya menguasai satu pertiga Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, PRU15 menyaksikan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menguasai hampir 100 peratus kemenangan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Kata beliau, bagaimanapun, kekuatan PN pada 2022 dan 2023 sebenarnya terletak pada situasi atau keadaan semasa di mana isu Melayu-Islam digunakan dengan cukup baik, selain prestasi UMNO yang agak teruk.

Ujarnya, tindakan UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) juga menyumbang kepada undi protes terhadap parti itu dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Ini semua adalah keadaan pada masa itu yang melonjakkan PN sebagai parti alternatif yang menjadi pilihan khususnya pengundi Melayu. Namun hakikatnya, PN sebenarnya tidak berdiri atas rekod pemerintahan yang hebat sebelum itu dan tidak dilihat sebagai inklusif untuk bangsa, kaum dan agama lain.

“Hampir 100 peratus bukan Melayu tidak mengundi PN. Ini indikator atau petunjuk besar PN abaikan. Bayangkan di kawasan campuran 50 peratus pengundi Melayu dan 50 peratus bukan Melayu, PH hanya memerlukan tiga ke lima peratus sahaja yang menyokong mereka selain sokongan solid (utuh) pengundi bukan Melayu.

“PN pula hanya mengharapkan kemenangan di kawasan melebihi 70 peratus pengundi Melayu sebagai deposit tetap, namun situasi itu sudah berubah dengan pengundi Melayu juga sudah mula beralih arah kepada UMNO selain prestasi Kerajaan Perpaduan yang semakin mengukuh memberi keyakinan kepada rakyat.

“Kita lihat kini, UMNO kembali mengukuh dengan kemenangan berturut-turut dalam beberapa PRK sebelum ini dan akar umbi UMNO yang protes mengundi PN sebelum ini juga sudah mula faham keputusan Ahmad Zahid untuk bersama dalam kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, naratif Melayu-Islam terancam yang sering dimainkan PN juga sudah basi untuk menarik sokongan pengundi, selain gabungan itu gagal memainkan peranan sebagai pembangkang berkesan apabila gagal menjadi alternatif pada dasar kerajaan.

“Kalau situasi ini kekal, PN akan hilang undi atas pagar yang sokong mereka dahulu dan tidak mustahil akan menyaksikan penurunan sokongan antara 10 sehingga 15 peratus menjelang PRU16 nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN