Tiada makluman tuntutan kosongkan kerusi di mahkamah - Johari - Utusan Malaysia

Tiada makluman tuntutan kosongkan kerusi di mahkamah – Johari

Kosongkan kerusi
JOHARI Abdul ditemui pemberita ketika melawat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu pihaknya belum menerima sebarang makluman berkaitan prosiding mahkamah terhadap tuntutan daripada pembangkang supaya enam kerusi disandang bekas ahli Parti Bersatu dikosongkan.

Beliau berkata, meskipun ketetapan sudah pun dibuat beliau bahawa kerusi-kerusi tersebut tidak perlu dikosongkan namun, Bersatu berhak mencabar keputusan itu menerusi semakan undang-undang di mahkamah.

Menurutnya, semua parti di negara ini boleh mengambil tindakan perundangan ke atasnya sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuatnya semasa sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Saya tidak menerima sebarang notis (makluman) daripada mahkamah berhubung isu terbabit. Mungkin mereka hendak bawa ia ke mahkamah tetapi setakat ini, saya tidak tahulah sama ada mereka sudah bawa ke sana atau belum.

“Itu hak parti tersebut untuk berbuat demikian (semakan di mahkamah). Tetapi di peringkat saya, keputusan dibuat mengikut peraturan mesyuarat dan undang-undang,” katanya selepas melawat Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tujuh bekas ahlinya, iaitu enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu tidak sesekali mengalah walaupun kecewa dengan keputusan yang dibuat Johari dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San.

Enam kerusi ahli Parlimen yang merupakan bekas ahli Bersatu sebelum ini dilaporkan tidak diisytihar kosong oleh Johari.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemakluman hal tersebut dibuat dalam satu surat yang diterimanya daripada Johari sendiri pada persidangan Dewan Rakyat yang lalu.

Mereka yang terlibat adalah adalah Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, turut terlibat ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN