KUALA TERENGGANU: Pelarasan gaji yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk lebih 14,000 penjawat awam di negeri itu tidak akan berdepan masalah walaupun masih berdepan ‘sekatan’ wang royalti minyak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya kenaikan gaji itu dimasukkan dalam emolumen kerajaan negeri, ia tetap akan dibayar mengikut ketetapan yang telah dimuktamadkan.
“Sekiranya kenaikan gaji dimasukkan dalam emolumen kerajaan negeri, yang diambil daripada wang tunai petroleum atau royalti, jadi sepatutnya tak ada apa-apa masalah.
“Bagaimanapun, kita sedang bincang dengan Kementerian (Kewangan) tentang langkah selanjutnya,” karanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai implikasi kewangan yang bakal dihadapi kerajaan negeri susulan pelarasan gaji penjawat awam di Terengganu sekiranya dilaksanakan nanti.
Ahmad Samsuri sebelum itu hadir Program Al-Quran Di Hati di Sekolah Kebangsaan (SK) Serada, di sini, hari ini.
Program tersebut dilancarkan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Mengenai kakitangan kontrak pula, Ahmad Samsuri memberitahu, pihaknya akan memaklumkan kemudian kerana masih menunggu perincian yang lebih jelas.
“Kakitangan kontrak kita akan maklumkan kemudian kerana kita nak tengok kos keseluruhan (kenaikan gaji),” katanya. – UTUSAN










